Pasukan negara memperoleh bekalan selesa dalam perlawanan play-off kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila membelasah Timor Leste dengan keputusan 7-1 pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Ketika ramai pihak memberikan pujian terhadap barisan serangan negara yang mempamerkan ketajaman di hadapan gol, gandingan Shahrul Saad dan Adam Nor Azlin di bahagian pertahanan pasukan negara turut wajar diberikan pujian.

Gandingan Shahrul dan Adam dilihat semakin serasi apabila mereka berjaya mengekang segala asakan yang diberikan oleh barisan serangan pihak lawan.

Shahrul Saad
Sumber Gambar: AFF Suzuki Cup

Pada separuh masa pertama, jentera serangan Timor Leste menemui jalan buntu apabila segala gerakan yang dilancarkan terhadap benteng pertahanan Malaysia mudah dipatahkan oleh Shahrul dan Adam.

Meskipun pintu gol negara dibolosi pada separuh masa kedua menerusi jaringan Joao Pedro, namun kedua-dua pemain segera memperbaiki kelemahan yang ada sekaligus menghalang Timor Leste daripada memperoleh lebih banyak gol.

Untuk perlawanan kedua pada 11 Jun nanti, Tan Cheng Hoe boleh mengekalkan gandingan Shahrul dan Adam dalam kesebelasan utama bagi meningkatkan dan memantapkan lagi keserasian antara kedua-dua pemain.

Jika beliau mahu membuat perubahan, bekas ketua jurulatih pasukan Kedah ini boleh mengubah bahagian tengah dan juga serangan untuk memberikan peluang kepada pemain lain beraksi.