Pemain tengah skuad kebangsaan Jepun, Gaku Shibasaki membuka lembaran baharu dalam perjalanan beliau di saingan Liga Sepanyol apabila sah menyertai Deportivo La Coruna bagi saingan musim 2019/2020.

Shibasaki yang beraksi bersama The Samurai Blue dalam saingan Copa America bulan lalu memulakan karier di Sepanyol dengan menyertai Tenerife pada Januari 2017 setelah enam musim menyarung jersi Kashima Antlers dimana beliau membantu kelab tersebut memenangi J1 League dan Emperor’s Cup pada 2016 serta J League Cup pada 2012.

Pemain yang dilahirkan di bandar Noheji, Aomori itu menampilkan aksi cemerlang dimana beliau sering membarisi kesebelasan utama pasukan dan membantu Tenerife mara ke pusingan play-off Segunda DivisiĆ³n. Namun, Tenerife tewas kepada Getafe dengan keputusan 3-2 secara agregat dalam perlawanan akhir.

Gaku Shibasaki Tenerife
Aksi Gaku bersama Tenerife.
Sumber Gambar: El Espanol

Aksi cemerlang Gaku kemudiannya menarik minat Getafe untuk menandatangani pemain tengah berusia 27 tahun itu bagi menghadapi saingan musim 2017/2018. Akan tetapi, perjalanan Gaku bersama Getafe tidak seperti yang diharapkan apabila beliau sedikit bergelut untuk tampil dalam kesebelasan utama. Musim lalu, Gaku hanya beraksi dalam 7 perlawanan Liga.

Setelah dua musim hambar bersama Getafe, Gaku akhirnya berhijrah dengan menyertai Deportivo La Coruna yang akan beraksi dalam saingan Segunda DivisiĆ³n musim ini. Pada musim 2018/2019 Deportivo menamatkan saingan di tangga keenam sekaligus terlepas peluang untuk beraksi di peringkat play-off.

Gaku Shibasaki menjadi antara pemain dari Jepun yang menghiasi saingan Liga Sepanyol musim ini. Selain Gaku, dua lagi pemain iaitu Takefusa Kubo serta Hiroki Abe masing-masing akan beraksi bersama Real Madrid dan FC Barcelona.