Bekas ketua jurulatih skuad piala dunia Belgium, Marc Wilmots mengesahkan telah membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai kegagalan Persekutuan Bola Sepak Republik Iran (FFIRI) membayar gaji mengikut kontrak yang telah dipersetujui.

Pengendali yang berusia 51 tahun itu dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Iran pada bulan Mei tahun lepas bagi menggantikan tempat Carlos Queiroz.

Bagaimanapun, beliau telah meletak jawatan pada bulan Disember selepas menghadapi 6 perlawanan di peringkat antarabangsa.

Ketika dibawah kendaliannya, Iran mencatat 2 kemenangan dan 2 kekalahan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 dan kini berada dikedudukan ketiga dalam kumpulan C.

“Saya telah membuat aduan terhadap Iran kepada FIFA. Kes ini sedang berjalan dan saya sedang menanti keputusannya,” katanya dalam Tehran Times. 

Setiausaha Agung FFIRI, Mehdi Mohammad Nabi menjelaskan pembayaran gaji kepada Wilmots tidak dilakukan bukan kerana masalah kewangan tetapi disebabkan oleh sikap tidak bertanggungjawab jurulatih itu meninggalkan pasukan.

“Seperti yang saya katakan, Wilmots hanya mahukan wang dan tidak bertanggungjawab terhadap pasukan kebangsaan Iran.

“Dia telah buat aduan kepada FIFA untuk dapatkan bayaran gaji penuh. Kenapa pula kami perlu membayar gajinya kerana dia sendiri meninggalkan pasukan dan buat kerja ‘separuh jalan’,” jelasnya.

EUNahJoWkAAls7r
Setiausaha Agung FFIRI, Mehdi Mohammad Nabi

Sementara itu, bekas Presiden FFIRI, Mehdi Taj mendakwa Wilmots merupakan seorang penipu dan jurulatih yang tidak boleh dipercayai. Beliau berkata tuduhan Wilmots mengenai tindakan persatuan memanipulasi kontrak adalah tidak berasas.

“Tak mungkin ada manipulasi dalam kontrak. Wilmots nampaknya merupakan seorang yang tidak bertanggungjawab,”kata Taj dalam wawancara dengan Stesen TV yang dikendalikan oleh kerajaan.

“Kami telah pun membayar pampasan kepadanya selama tiga bulan dan bukan dua tahun. Dia telah menipu persatuan,”tegasnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia dibawah.

PSSI Nafi Gaji Shin Tae-yong Tidak Dibayar

VFF Ikat Pengarah Teknikal Baru Dari Jepun, Gaji RM87,000 Sebulan Dengan Kontrak 5 Tahun

Media Thailand Tidak Yakin “The Elephants War” Mampu Juarai Piala AFF