Seperti mana ramai peminat bola sepak Malaysia tahu 3 pemain utama skuad kebangsaan Thailand kini beraksi dalam saingan J1 League dan 2 lagi beraksi bersama skuad U23 kelab J1 League.

Ia menjadi satu persoalan mengapa tiada pemain-pemain skuad kebangsaan dari Malaysia yang berjaya menarik perhatian kelab Jepun, sekurang-kurangnya J2 ataupun J3.

Setiap kali ada berita mengenai pemain Malaysia menerima tawaran sesi percubaan bersama kelab Jepun, wujud satu perasaan mahu mereka mendapatkan tempat dan kekal beraksi disana demi meningkatkan lagi pelbagai aspek sebagai pemain bola sepak. Malangnya, tidak ada yang mampu bertahan lebih dari 1 tahun.

Semalam, kami mengajukan persoalan ini kepada seorang pegawai atasan J.League untuk mendapat maklumat yang lebih jelas.

Menurut mereka, maklum balas yang diterima dari kelab-kelab menyatakan mereka terbuka dalam menerima pemain-pemain dari ASEAN selepas polisi J.League membenarkan pemain-pemain dari Asia Tenggara beraksi dengan status pemai tempatan.

Namun, bagi Malaysia terutamanya, isu gaji terlampau tinggi sehingga mereka tidak berani untuk membuat sebarang tawaran awal. Jika dilihat dari segi kualiti pula, secara umum mengetahui pemain dari Thailand mempunyai kelas tersendiri dan negara-negara ASEAN lain boleh dikatakan setaraf.

Tetapi sebaliknya berlaku jika dilihat dari jumlah gaji yang diterima. Pastinya di Malaysia ia menjadi suatu perkara yang sensitif apabila disebut mengenainya.

Mungkin kelab-kelab Jepun boleh mempertimbangkan pemain-pemain dari Malaysia walaupun mempunyai gaji tinggi tetapi mempunyai satu pakej lengkap dari pelbagai segi terutamanya aksi didalam padang.

Atau ada pemain yang sanggup menerima gaji lebih rendah demi menerima peluang dan bekerja keras disana dan mencapai tahap permainan dan gaji lebih tinggi.

Nota: J.League membuka peluang kepada mana-mana kelab untuk mengambil pemain dari negara-negara ‘J.League Partner Nation’ dan pendaftaran pemain ini bukan sebagai pemain import, sebagai salah satu strategi pemasaran serta tanggunjawab mereka kepada negara-negara berkenaan untuk membantu meningkatkan lagi tahap bola sepak Asia secara keseluruhannya.

Walaubagaimanapun, pemain-pemain yang akan diambil bukan sekadar memanaskan bangku simpanan, dan mereka tetap mementingkan kualiti daripada kuantiti.