Masalah tunggakan gaji pasukan Liga Malaysia kembali menjadi bualan apabila pemain Kelantan dikhabarkan sudah dua bulan tidak menerima sebarang gaji.

Menurut laporan La Bola Malaya, terdapat sumber yang memberitahu mereka bahawa pemain belum menerima gaji bagi bulan Februari yang sepatutnya dibayar pada 7 Mac lalu. Manakala gaji bagi bulan Mac pula akan dibayar pada 15 April.

Tambah sumber tersebut, pemain diminta bersabar mengenai pembayaran gaji mereka kerana pengurusan terkini pasukan, KRW Sdn Bhd lewat menerima dokumen kontrak daripada pengurusan terdahulu, Persatuan Bola Sepak Kelantan(KAFA).

“Pemain diminta bersabar sebab mereka kata lewat menerima dokumen kontrak dari KAFA tetapi sampai bila, nak pergi training sekalipun perlukan kos. Saya yakin pihak KRW sedang mengusahakan tetapi janganlah ambil masa lama kerana ia akan jejaskan motivasi pemain,” kata sumber berkenaan.

Sebagai rekod, pada Januari lalu, KAFA menandatangani perjanjian kerjasama dengan KRW Sdn Bhd sekaligus menyaksikan segala perihal berkaitan perjalanan dan pengurusan pasukan termasuk penajaan dan pembayaran gaji diserahkan kepada syarikat tersebut.

KRW Sdn Bhd juga telah menyatakan mereka akan membawa masuk sejumlah besar dana dan berjanji akan menyelesaikan segala hutang lapuk KAFA secara berperingkat, namun dikhabarkan sehingga kini masih belum ada perkembangan positif mengenainya.

Semalam, penyerang import pasukan, Raul Tarragona mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak beliau bersama bekas juara Piala Malaysia 2012 itu. Sepanjang beraksi bersama Kelantan, Tarragona menjaringkan satu gol ketika Kelantan bertemu Terengganu FC II minggu lalu.

Sebelumnya, pasukan Kelantan sememangnya tidak asing lagi dengan masalah tunggakan gaji dimana masalah tersebut telah memberi kesan kepada pasukan sejak tiga musim kebelakangan ini. The Red Warriors harus kehilangan tempat dalam saingan Liga Super dimana mereka menamatkan saingan Liga Super musim lalu di zon penyingkiran dan beraksi di Liga Perdana musim ini.

Apa yang pasti, KRW perlu segera mencari jalan penyelesaian bagi memastikan pasukan Kelantan tidak ditimpa nasib yang sama seperti pasukan Perlis Northern Lions. Perlis disingkirkan daripada saingan Liga Perdana setelah mereka menghadapi masalah kewangan yang serius dan dianggap tidak mampu untuk mengharungi baki musim 2019.