Tawaran untuk beraksi dengan kenaikan gaji 160% dari gaji semasa dan peluang untuk merebut tempat tampil dalam kejohanan AFC Cup nampaknya gagal untuk menarik minat pemain Malaysia untuk berhijrah ke Liga Kemboja.

Pemain pertahanan tengah yang beraksi dalam saingan Liga Premier Malaysia itu dilihat kekal dengan pendirian untuk bermain dengan pasukan semasa dan tawaran dari sebuah kelab dalam saingan divisyen utama Metfone Liga Kemboja itu dipandang sepi.

Menurut maklumat yang diterima oleh VOCKET FC, tawaran gaji sekitar RM13,000 sebulan untuk beraksi dengan sebuah kelab Top 3 saingan Metfone Liga Kemboja itu dikatakan masih belum cukup tinggi untuk beliau beraksi disana.

“Kelab Kemboja ni ada chance nak main AFC Cup, tapi dia tetap tak nak. Nak main kat Malaysia je.”

“Sedih ada, panas pun ada. Kita nak tolong naikkan karier player kita.”

Mungkin beraksi dalam liga yang tidak popular seperti Liga Kemboja membuatkan mereka rasa ‘segan’ apabila berbicara tetapi peluang beraksi dengan Top Team dengan bayaran gaji 2 kali ganda serta peluang ke saingan AFC Cup adalah cukup baik untuk pemain yang memiliki pengalaman 4 tahun dalam aksi Liga Premier.

Adakah pemain-pemain  tempatan hanya berminat untuk beraksi dengan kelab dari liga-liga tersohor Asia atau eropah sahaja, walaupun realitinya sukar untuk mereka menembusinya.

Atau, mereka sayang untuk meninggalkan ‘comfort zone‘ yang dimiliki sambil mengharapkan tawaran kelab tempatan lain dengan gaji lebih tinggi – itu pun jika tiada tunggakan.

Tidak keterlaluan, peluang seperti ini mampu untuk menjadi batu loncatan dalam karier bola sepak mereka ke peringkat lebih tinggi, tetapi semuanya atas pertimbangan mereka sama ada mahu mencabar diri atau tidak.

Cubalah dulu, baru kita tahu.