Malaysian Football League (MFL) hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi mengumumkan akan melaksanakan pengurangan gaji kakitangan sebanyak 10 dan 20 peratus secara sementara jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April ini dilanjutkan, susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ini.

Keputusan itu dicapai hasil mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menerusi satu persidangan video Isnin lalu.

Langkah pengurangan gaji sebanyak 10 dan 20 peratus itu terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan selepas pihak pengurusan mengambil kira setiap aspek dengan teliti terutama kesan ekonomi yang melanda dunia akibat pandemik COVID-19.

ERHIjkAUcAA5NF0
FOTO: MFL

Kesan penularan wabak COVID-19 ini menyaksikan MFL terpaksa menangguhkan saingan Liga Malaysia musim 2020 membabitkan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA selain TM Piala Malaysia dan Challenge Cup.

Penangguhan yang bermula 16 Mac lalu, dua hari sebelum arahan PKP oleh pihak kerajaan itu turut membabitkan saingan liga amatur iaitu Liga M3 dan Liga M4 di bawah kelolaan Amateur Football League (AFL) demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.

“Langkah pengurangan gaji semua kakitangan MFL akan dilaksanakan bermula April ini sehingga PKP ditarik balik dan menerusi perbincangan bersama, kakitangan sepakat untuk menerima keputusan itu bagi memastikan MFL terus bergerak ke depan.

“MFL percaya langkah berkenaan adalah yang terbaik dalam usaha untuk terus menjaga kebajikan kakitangan walaupun ia sesuatu yang berat untuk dilaksanakan oleh pihak pengurusan.

“MFL juga percaya semua kakitangan memahami keputusan yang diambil dan akan terus bersama mengharungi detik mencabar ini demi bola sepak Malaysia,” kata kenyataan rasmi itu.

Biarpun langkah ini diambil, ia tidak memberi kesan kepada operasi MFL yang sentiasa bersedia untuk menyambung semula Liga Malaysia berdasarkan keadaan semasa wabak COVID-19 jika perintah PKP ditarik balik oleh kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan pada bulan lalu membayangkan tempoh penangguhan saingan Liga Malaysia mungkin akan berlanjutan sehingga bulan Jun jika kes wabak COVID-19 meningkat ke tahap yang membimbangkan.

Baca artikel lain mengenai isu pemotongan gaji pemain Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Khalid Jamlus Gesa Pasukan Selesaikan Tunggakan Sebelum Memotong Gaji Pemain

Pemain UKM FC Setuju Dengan Pemotongan Gaji Hingga 20 Peratus

“Daripada Satu Sudut, Pemain Mungkin Bimbang Kelab Mencari Alasan Untuk Tidak Membayar Gaji Penuh”