Pemain tengah Jeonbuk Hyundai Motor FC yang juga juara AFC Champions League 2016, Lee Jae-sung sah akan beraksi bersama sebuah pasukan dalam Bundesliga 2, Holstein Kiel mulai musim 2018/2019.

Menurut sebuah portal dari Korea Selatan, The Chosunilbo, Lee Jae-sung telah memilih untuk mencabar dirinya untuk mengutip pengalaman dalam sebuah liga yang lebih maju di Bundesliga berbanding menyertai kelab dari China atau Timur Tengah walaupun menawarkan gaji yang jauh lebih tinggi.

Selain itu, Lee juga telah menolak 1 tawaran dari pasukan Ligue 1, Guingamp FC yang menamatkan liga dikedudukan ke 12 musim lalu dan satu lagi tawaran dari kelab FC Midtjylland yang beraksi dalam Danish Superliga di Denmark.

Dilaporkan juga Lee telah gagal menyertai Fulham FC yang baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris musim 2018/2019 kerana masalah mendapatkan permit kerja.

Lee jae sung
Lee Jae-sung menerima anugerah pemain terbaik K.League 2017 SUMBER: K.League United

Lee yang memulakan karier bersama Korea University pada peringkat remaja menyertai Jeonbuk Hyundai Motor FC pada 2014 dan telah berjaya membantu kelab itu muncul juara K.League Classic sebanyak 3 kali dalam tempoh 4 tahun.

Beliau juga membantu kelab itu muncul juara AFC Champions League 2016, tersenarai dalam kesebelasan terbaik K.League sebanyak 3 kali – 2015,2016 dan 2017, menerima anugerah pemain muda terbaik K.League 2015 dan pemain terbaik (MVP) K.League 2017.