Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mendedahkan sebuah pasukan dari Liga Super dan Liga Premier kini berdepan risiko untuk disingkirkan ke Liga M3 selepas didapati gagal melengkapkan dokumen yang membolehkan mereka beraksi dalam Liga Malaysia.

Menurut laporan daripada utusan malaysia, kedua-dua pasukan itu gagal melengkapkan dokumen berkaitan pelbagai agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Semua pasukan sudah (melengkapkan dokumen) setakat ini, namun terdapat dua lagi pasukan perlu lengkapkan beberapa perkara seperti yang diminta oleh kami.

“Lima daripada tujuh pasukan yang diberi lesen bersyarat sebelum ini telah menyelesaikan proses mereka, malah lesen juga tiada masalah, namun dua pasukan ini, lesen mereka boleh ditarik balik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tujuh pasukan yang diberi lesen bersyarat ialah dua pasukan Liga Super iaitu Pahang dan Melaka, manakala lima Liga Premier ialah Pulau Pinang, Kelantan, Kuching FA, UKM FC serta Sarawak United.

Difahamkan salah satu pasukan Liga Super yang gagal melengkapkan dokumen tersebut ialah Melaka United. Mereka kini dalam proses untuk mengemukakan rayuan untuk diberi masa bagi melengkapkan dokumen berkaitan.

Malah mereka juga sedang menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang membabitkan pemain pada musim lalu bagi mengelakkan daripada tersingkir ke Liga M3 musim ini.

“Kita dalam proses pembayaran. Surat rayuan juga telah diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” kata sumber daripada Melaka United.

Nasib Melaka United dan sebuah lagi pasukan Liga Premier akan ditentukan dalam mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM minggu depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Penyokong Kritik Logo Baharu Sri Pahang FC, Pemenang Dakwa Belum Terima Hadiah Seperti Dijanjikan

TMJ: Proses Naik Taraf Padang Stadium Sultan Ibrahim Berjalan Lancar Dan Kualiti Juga Amat Baik

Kurniawan Dwi Yulianto Kembali Dilantik Sebagai Pengendali Sabah FC