Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) masih memberi kepercayaan terhadap pengendali skuad B-19 tahun negara itu, Shin Tae-yong meskipun gagal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan kejohanan Piala AFF B-19 Tahun yang berlangsung di laman sendiri.

Indonesia tidak berjaya layak untuk mara ke peringkat separuh akhir dimana mereka tewas kepada Thailand dan Vietnam dalam kumpulan A menerusi penentuan head to head meskipun membelasah Myanmar dengan keputusan 5-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan menegaskan Tae-yong masih mendapat kepercayaan penuh dari pihaknya dan beliau akan terus mengendalikan skuad B-19 tahun negara itu.

“Shin Tae-yong akan terus mengendalikan skuad B-19 tahun Indonesia. Kegagalan ini kerana peraturan yang telah ditetapkan oleh penganjur,” katanya.

Media di Indonesia menuduh Thailand dan Vietnam telah berpakat untuk mencapai keputusan seri agar kedua-dua pasukan layak ke peringkat separuh akhir. Ini kerana apabila kedudukan sedang terikat 1-1, pemain dari kedua-dua pasukan dilihat sengaja melambatkan permainan dan kerap cedera meskipun tiada kekasaran yang berlaku.

Iriawan kemudiannya menyatakan beliau telah mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat tergempar dan pihaknya akan membuat aduan kepada AFF kerana beliau juga tidak berpuas hati dengan aksi antara Thailand menentang Vietnam.

Pada aksi peringkat separuh akhir, Thailand akan berdepan dengan Laos manakala Vietnam akan bertemu dengan Malaysia. Laos mencipta kejutan apabila mereka muncul sebagai juara kumpulan B dengan rekod tanpa kalah sekaligus mengetepikan pasukan negara yang muncul sebagai naib juara.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Kobe Chong Sertai Kelab Divisyen Enam England

Pra-musim: Manchester United Belasah Liverpool

Kelab Arab Saudi, Al-Shabab Mahu Dapatkan Khidmat Mauro Icardi