Sulaiman

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Saingan Liga Super China (CSL) mungkin tidak akan diteruskan pada musim ini berikutan kesukaran untuk mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan menurut laporan daripada South China Morning Post.

Badan pengendali liga sudah pun menghantar beberapa kertas kerja dan cadangan namun ia telah ditolak oleh Kementerian Sukan dan Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit China.

Kini Persatuan Bola Sepak China (CFA) telah menyerahkan kertas cadangan kepada pakar penyakit berjangkit yang berpusat di Shanghai iaitu Zhang Wenhong, seseorang profesor yang telah menjadi popular semasa wabak COVID-19 melanda negara itu. Sina Sports melaporkan bahawa cadangan itu telah diterima dengan baik.

Difahamkan ini merupakan rayuan terakhir CFA untuk memastikan CSL dapat berlangsung seperti biasa setelah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan tarikh baharu untuk saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Satu lagi masalah yang telah berlaku ialah beberapa pemain dan jurulatih import dihalang daripada memasuki negara China sekaligus menyukarkan setiap kelab untuk menggunakan khidmat mereka dalam setiap perlawanan.

Antara yang terlibat ialah pengurus Dalian Pro, Rafa Benitez dan pemain kelab itu, Marcus Danielson serta Sam Larsson. Beberapa jurulatih asing daripada kelab Beijing Guoan, Tianjin Teda dan Jiangsu Suning turut tidak dibenarkan memasuki negara itu.

Walaupun situasi wabak pandemik di China menunjukkan tanda pengurangan, namun mereka belum lagi menetapkan tarikh rasmi untuk memulakan perlawanan CSL kerana belum mencapai persetujuan dengan semua pemilik kelab mengenai 3 polisi tersebut.

3 Polisi CFA ialah tiada stadium kosong, tiada pengurangan perlawanan dan tiada penyambungan liga hingga 2021.

Ia bermakna jika mereka gagal menjadualkan 30 perlawanan Liga Super China yang melibatkan 16 pasukan pada musim ini, liga tersebut terpaksa dibatalkan. CFA sebelum ini mengumumkan Piala FA tidak akan dibatalkan kerana perlu mencari wakil negara di pentas AFC tahun depan.

Situasi itu menyebabkan mereka sukar untuk menjadualkan semua perlawanan supaya dapat ditamatkan sebelum bulan Disember 2020. Lebih memeningkan kepala, mereka perlu mengambil kira jadual perlawanan AFC Champions League dan latihan pusat skuad kebangsaan.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

K League Berjaya Jual Hak Penyiaran Kepada 10 Negara Termasuk Malaysia

RASMI: Thai League Ditunda Sehingga Bulan September 2020 Dan Liga Dijangka Tamat Pada Bulan Mei 2021

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group