Segelintir penyokong Arsenal jelas tidak dapat menyembunyikan kemarahan mereka selepas The Gunners gagal untuk menambah pemain pada jendela perpindahan yang ditutup pagi tadi.

Sudah membawa masuk empat pemain baharu iaitu Gabriel Jesus, Oleksandr Zinchenko, Fabio Vieira dan Matt Tuner, para penyokong Arsenal melihat ia masih belum mencukupi buat skuad kendalian Mikel Arteta itu.

Seperti yang dilaporkan media barat sebelum ini, pemain tengah Aston Villa, Douglas Luiz menjadi keutamaan untuk dibawa masuk kelab dari London itu.

Edu Dedah Arsenal Tak Berminat Dengan Pemain Dortmund Kerana Mata Duitan

Hal ini kerana Mikel Arteta kehilangan dua pemain tengah, Thomas Partey dan Mohamed Elneny yang mengalami kecederaan dan sudah pastinya memerlukan pengganti yang berkualiti.

Bagaimanapun selepas tiga tawaran dibuat, Aston Villa masih berkeras dengan harga £40 juta yang diletakkan sekali gus menyaksikan perpindahan tersebut gagal untuk direalisasikan.

Susulan dengan kegagalan tersebut, penyokong Arsenal bertindak menyalahkan Pengarah Teknikal, Edu Gaspar yang disifatkan beliau tidak menjalankan peranannya dengan baik.

Dapat disaksikan juga sudah trending di laman Twitter tanda pagar #EduOut dimana memperlihatkan kemarahan para penyokong Arsenal terhadap bekas pemain mereka itu.

Nampaknya kecemerlangan Arsenal dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 dengan memenangi kesemua lima perlawanan untuk menduduki tangga teratas masih belum cukup untuk memuaskan hati para peminat mereka susulan kegagalan mendapatkan pemain baharu.

Kerisauan para penyokong Arsenal ada asasnya kerana dalam satu perjalanan liga yang panjang, ‘squad depth’ berkualiti amat diperlukan untuk memperoleh kejayaan seperti dibuktikan oleh Manchester City dan juga Liverpool.

Kredit Featured Image: Arsenal FC