Wakil negara, Pahang Rangers gagal meraih kemenangan ketika bertemu Hongyen Thakam apabila tunduk 1-3 pada aksi Kumpulan A Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 yang berlangsung di Terminal 21 Korat, Thailand sebentar tadi.

Kekalahan tersebut menyaksikan skuad kendalian Gerard Casas Ullestre itu perlu menewaskan Victoria University College (VUC) dari Myanmar, esok untuk mara ke separuh akhir.

Manakala Hongyen Thakam yang merupakan kelab dari Thailand pula sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

Meskipun hanya empat jaringan yang dihasilkan pada perlawanan ini tetapi begitu banyak peluang yang dijelmakan oleh kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, Jaroenpong Prasansat (Hongyen Thakam) dan Zainul Zahin Sinuan yang bertindak selaku penjaga gol mempamerkan ketangkasan dalam menafikan serangan bertubi-tubi lawan masing-masing.

Taktikal Gerard menggunakan taktikal ‘Power Play’ pada babak pertama jelas memakan diri apabila kesilapan pemain Pahang Rangers memberikan ruang buat Wendel da Silva Mendes menjadikan kedudukan 1-0.

Pemain import kelahiran Iran, Amin Nasrollahzadeh kembali mengikat kedudukan pada minit ke-22 selepas beliau menanduk masuk bola hasil hantaran jauh Mahadir Harahap Khairudin.

Kegembiraan kem Pahang Rangers hanya bertahan tiga minit apabila Rian Gomes pula mendapat umpanan baik dari rakan sepasukan dan kemudiannya melakukan tandukan bagi menewaskan Zainul.

Taktikal ‘Power Play’ sekali lagi menjadi masalah buat Pahang Rangers dimana Joreonpong melakukan sepakan daripada posisinya lalu bola bergolek masuk ke gawang lawan untuk memastikan kemenangan buat wakil tuan rumah itu.