Pahang Rangers terpaksa berpuas hati berada di tempat keempat Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 selepas tunduk 0-3 kepada Thai Son Nam pada aksi yang berlangsung di Terminal 21 Korat, Thailand sebentar tadi.

Kekalahan tersebut menyaksikan Pahang Rangers gagal mengulangi pencapaian Selangor MAC yang menduduki tempat ketiga pada edisi 2022.

Aksi bagaimanapun berlangsung dengan cukup mendebarkan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk memburu jaringan.

Namun, kelab gergasi Vietnam yang dibarisi sebahagian pemain kebangsaan negara tersebut berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-19.

Gol pembukaan itu hadir selepas Nguyen Anh Duy menyempurnakan peluang dalam kawasan D yang sekali gus menewskan penjaga gol, Zainul Zahin Sinuan.

Hanya selepas dua minit babak kedua berlangsung, Tu Minh Quang menambah jaringan kedua hasil percubaannya daripada luar kawasan D bagi mengukuhkan lagi kedudukan.

Tekanan diberikan pemain Thai Son Nam terus membuahkan hasil pada minit ke-34 selepas sepakan ke dalam dilakukan membias terkena kaki Ridzwan Bakri lalu bola bergolek masuk ke dalam gawangnya sendiri.

Kedudukan 3-0 memihak Thai Son Nam itu kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan tempat ketiga menjadi milik skuad kendalian Nicolas Gustavo Gulizia itu.

Pencapaian terbaik Thai Son Nam dalam Kejuaraan Futsal Kelab AFF adalah ketika muncul naib juara edisi 2016 di Myanmar selepas tunduk kepada wakil Thailand, Thai Port 3-4.