Impian Pahang Rangers untuk melangkah perlawanan akhir Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 lebur selepas tunduk 0-7 kepada Black Steel FC Papua di Terminal 21 Korat, Thailand sebentar tadi.

Berdepan lawan yang merupakan antara kelab gergasi Liga Futsal Indonesia, anak buah Gerard Casas jelas berdepan kesukaran untuk mempamerkan aksi terbaik mereka.

Black Steel berjaya membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi Guntur Sulistyo Aribowo yang mempamerkan gerak kaki pantas untuk menyudahkan peluang terhidang.

Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan para pemain Black Steel dimana mereka terus memberikan tekanan tidak sampai seminit selepas jaringan pertama itu terhasil.

Bagaimanapun, kuisan Diego Rodrigo ketika rakan sepasukannya melakukan rembatan ke arah pintu gol Pahang Rangers sekadar singgah di tiang gol.

Peledak berbisa Black Steel, Holypaul Septinus ‘Evan’ Soumilena menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-13 menerusi percubaan voli yang menewaskan penjaga gol, Zainul Zahin Sinuan.

Diego menebus kehampaannya apabila menjaringkan gol pada minit ke-17 hasil serangan balas pantas ketika beliau merampas bola dari kaki Ahmad Harith Naim.

Aksi pada babak kedua semakin menunjukkan penguasaan anak buah Rakphol Sainetngam itu dimana mereka menambah empat lagi jaringan.

Hanya selepas dua minit separuh masa kedua berlangsung, Ardiansyah Nur menjaringkan gol terus melebarkan kedudukan.

Tidak cukup dengan empat gol tersebut, Evan yang tidak dikawal pemain Pahang Rangers mudah menambah gol kelima pada minit ke-25 dan berselang lima minit kemudian, Junior Piter pula meletakkan nama selaku penjaring.

Malang menimpa Pahang Rangers selepas itu selepas Sufri Shamil diperintahkan keluar padang berikutan kad kuning kedua diterimanya.

Kesempatan itu diambil Evan dengan meledakkan percubaan sepakan percuma yang sekali gus melengkapkan hatrik buat beliau pada minit ke-37.

Kemenangan mudah diraih Black Steel FC Papua ke atas Pahang Rangers itu sekali gus mengesahkan tempat ke perlawanan akhir bagi menantikan pemenang antara Hongyen Thakam dan Thai Son Nam yang akan beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir.