Wakil Indonesia, Black Steel Papua memulakan kempen Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 dengan cemerlang selepas berjaya menundukkan Football Victoria Futsal 5-0 pada aksi yang berlangsung di Terminal 21 Korat, Thailand sebentar tadi.

Ketua pasukan, Holypaul Evan Soumilena menjadi watak utama pada perlawanan ini apabila beliau meledakkan hatrik serta mencipta bantuan kepada dua lagi jaringan buat Black Steel.

Kredit Foto: Futsal Thailand

Turun selaku pasukan pilihan, Black Steel yang dibimbing pengendali dari Thailand, Rakphol Sainetngam menguasai permainan sejak awal permainan manakala wakil Australia itu bersandarkan kepada serangan balas pantas.

Jaringan pembukaan perlawanan terhasil pada minit ke-12 berpunca daripada kemahiran individu menarik daripada Soumilena melepasi Adam Stuart Cooper lalu melakukan percubaan lambung untuk menewaskan penjaga gol, Christos Thomas Apostolakis.

Wendy Brian Lindrey Ick menggandakan kedudukan berselang tiga minit kemudian apabila beliau yang tidak dikawal pemain lawan dengan tenang menguis masuk bola hasil hantaran Soumilena.

Soumilena menjaringkan gol keduanya ketika aksi memasuki minit ke-25 selepas beliau berjaya memintas bola di ‘passing line’ dan kemudiannya mudah melakukan percubaan leret untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Kredit Foto: Futsal Thailand

Bintang skuad kebangsaan Indonesia itu melengkapkan hatrik pada minit ke-36 dan kemudiannya empat minit kemudian beliau melorongkan bola cantik kepada Piter Junior bagi memastikan kemenangan 5-0 buat Black Steel.

Black Steel hadir ke saingan kali ini dengan harapan untuk memburu kejuaraan bagi mengulangi pencapaian musuh tradisi mereka, Bintang Timur Surabaya yang muncul juara edisi 2022 dengan menewaskan kelab Thailand, Hongyen Thakam.