Indonesia bakal mendapat sentuhan berkualiti tinggi dari Iran apabila Mohammad Hashemzadeh baharu sahaja diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad futsal negara jiran tersebut dengan kontrak selama tiga tahun setengah.

Hashemzadeh hadir ke Indonesia dengan reputasi yang cukup hebat kerana pengendali berusia 45 tahun ini dikenali sebagai legenda futsal Iran. Seperti diketahui, Iran merupakan antara gergasi dunia dalam sukan lima sebelah ini.

Malah, beliau juga berpengalaman sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan Iran, Seyyed Mohammed Nazemasharieh sejak tahun 2013 hingga 2020 dan kemudiannya kembali semula pada 2021.

Ia memberikan gambaran jelas bahawa kepakaran dimiliki Hashemzadeh dilihat mampu untuk memberikan perkembangan positif buat skuad kebangsaan Indonesia yang dipilih bagi menggantikan pengendali dari Jepun, Kensuke Takahashi.

Kredit Foto: Federasi Futsal Indonesia

Lahir di Abadan, sebuah bandar yang terletak di barat daya Iran, Hashemzadeh merupakan antara anggota skuad kebangsaan negara tersebut ketika menamatkan saingan Piala Dunia Futsal 2008, Brazil di kedudukan kelima.

Beliau membuat 115 penampilan bersama skuad kebangsaan dan berjaya meledakkan 50 jaringan sepanjang kariernya. Selain itu, beliau turut membantu Iran menjuarai Piala Futsal AFC sebanyak lapan kali.

Manakala di peringkat domestik pula menyaksikan Hashemzadeh menjulang trofi Liga Futsal Iran sebanyak empat kali dan turut pernah mengecapi nikmat menjuarai saingan Piala Kelab Futsal AFC 2009.

Tugasan pertama buat Mohammad Hashemzadeh adalah pada kempen Piala Futsal AFF 2022 yang akan berlangsung pada April ini dimana Indonesia berada dalam satu kumpulan bersama-sama Thailand, Malaysia, Kemboja dan Brunei.

Teruskan membaca artikel lain mengenai Futsal seperti dibawah.

4 Perkara Ini Jadikan Thailand Antara Kuasa Besar Futsal Asia

Nafikan Hasrat Argentina, Portugal Muncul Juara Piala Dunia Futsal 2021

Falcao: Daripada Pemain Bola Sepak Yang Kecewa Kepada Ikon Futsal Terbilang