Vietnam mengulangi pencapaian edisi lalu apabila berjaya menduduki tangga ketiga Kejuaraan Futsal AFF 2022 susulan kemenangan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Myanmar pada penentuan tempat ketiga/keempat di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 40 minit permainan.

Kemenangan sukar itu juga sekali gus membawa Vietnam ke saingan Kejuaraan Futsal AFC 2022 yang dijadualkan berlangsung di Kuwait pada September nanti.

Situasi sama seperti aksi sulung kumpulan B dapat disaksikan apabila Myanmar tidak langsung memberikan laluan mudah buat skuad kendalian Pham Minh Giang.

Ketika Vietnam menguasai permainan di babak pertama, Myanmar yang memperagakan aksi bertenaga sepanjang kejohanan dilihat lebih banyak mendapat peluang bagi mengancam pintu gol lawan.

Dengan corak bertahan yang baik ditampilkan kedua-dua pasukan, para pemain kelihatan lebih banyak melakukan rembatan dari jarak jauh berbanding percubaan dalam kawasan D.

Keadaan itu menyebabkan tiada gol yang dapat dihasilkan oleh kedua-dua pasukan untuk mereka melangkah ke bilik persalinan tanpa sebarang kelebihan jaringan.

Nguyen Thinh Phat menggembirakan kem Vietnam pada minit ke-29 selepas beliau dengan tenang melakukan ‘turning’ susulan hantaran jauh dilakukan Van Y yang kemudiannya disudahkan tolakan mudah bagi menewaskan penjaga gol Myanmar, Zwe Pyae Sone.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Bunlert Charoenwong memperkemaskan aksi dan pengendali dari Thailand itu mengambil langkah berani dengan menerapkan taktikal ‘powerplay’.

Perjudian itu nyata membuahkan hasil setelah Khin Zaw Lin menolak masuk bola ketika perlawanan hanya berbaki 38 saat untuk pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Ho Van Y muncul wira buat Vietnam selepas penjaga gol tersebut menafikan dua sepakan awal Myanmar yang diambil Myo Mint Soe dan Aung Zin Oo manakala Tran Van Vu, Phan Doc Hua, Khong Dinh Hung dan Nguyen Minh Tri pula cemerlang menyempurnakan sepakan untuk membawa Vietnam ke Kuwait.

Sepakan Penalti

Vietnam

1) Tranh Van Vu – Gol

2) Phan Doc Hoa – Gol

3) Khong Dinh Hung – Gol

4) Nguyen Minh Tri – Gol

Myanmar

1) Myo Mint Soe – Diselamatkan Ho Van Y

2) Aung Zin Oo – Diselamatkan Ho Van Y

3) Nyein Min Soe – Gol