Indonesia meneruskan rentak bertenaga dalam kempen Kejuaraan Futsal AFF 2022 selepas membelasah Kemboja 11-2 pada aksi terakhir kumpulan A yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.

Skuad kendalian Mohammad Hashemzadeh itu jelas berada di prestasi terbaik berikutan kemampuan mereka mengikat gergasi futsal Asia, Thailand 2-2 pada perlawanan semalam.

Ketika pengendali dari Iran itu lebih banyak merehatkan peledak berbisa, Holypaul Septinus Soumilena, kelibat Ardianysah Runtuboy dan Syauqi Saud pula mencuri tumpuan pada perlawanan ini.

Hal ini kerana Ardiansyah Runtuboy membuktikan kemampuan hebat dimilikinya apabila beliau menjaringkan empat gol dan turut mencipta empat bantuan jaringan. Satu keadaan yang sudah cukup untuk menggambarkan kualiti pemain berusia 24 tahun itu.

Kredit Foto: Bolalob Futsal

Syauqi Saud juga tidak kurang hebatnya selepas beliau meledakkan hatrik dalam tempoh dua minit sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung.

Manakala, empat lagi jaringan Indonesia disumbangkan oleh Iqbal Rahmatullah, Marvin Alexa Wossiry, Soumilena dan gol sendiri daripada Diamant Prum. Sementara itu, Kemboja yang beraksi hanya untuk melengkapkan jadual memperolehi jaringan menerusi ketua pasukan, Ros Sirotha dan Chanmony Thong.

Kemenangan besar yang diraih itu sekali gus memastikan tempat buat Indonesia ke separuh akhir sambil menantikan samada Malaysia atau Thailand yang akan mengiringi mereka.

Sekiranya Malaysia mampu melakar kejutan terbesar sebentar nanti, Indonesia akan menjuarai kumpulan A. Keadaan bakal menjadi sebaliknya [muncul naib juara] jika Thailand meraih kemenangan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:

Futsal AFF 2022: Taktikal ‘Powerplay’ Menjadi, Myanmar Bergelar Juara Kumpulan

Futsal AFF 2022: Vietnam Pastikan Australia Ucap Selamat Tinggal

Futsal AFF 2022: Indonesia Kental Bertahan Ikat Thailand