Chelsea kalah lagi, kali ini lebih perit kerana di tangan seteru sebandar mereka Fulham dalam aksi EPL.

Kekalahan ini menguatkan lagi tekanan kepada Graham Potter. Di mana semakin kuat kedengaran suara #PotterOut di media sosial.

Chelsea memiliki rekod buruk dalam 7 perlawanan terakhir mereka sebelum bertandang ke Craven Cottage.

Terdapat keyakinan bahawa mereka akan menang, memandangkan rekod mereka ke atas Fulham sangat baik. Namun itu tidak berlaku. Chelsea malah kalah lagi.

Chelsea melakukan 20 percubaan dalam perlawanan ini, hanya 1 sahaja menerjah gawang daripada pemain pertahanan.

Di barisan serangan, Kai Havertz memiliki beberapa peluang namun penyudah pemain antarabangsa Jerman itu terus menjadi subjek perdebatan peminat The Blues.

Willian menambah derita Chelsea dengan gol pembukaan minit ke-25. Willian memutuskan untuk tidak meraikan gol tersebut.

Chelsea membalasnya pada awal separuh masa kedua menerusi Kalidou Koulibaly.

Tidak lama selepas itu, Joao Felix yang membuat debut, telah dibuang padang. Ini selepas pemain antarabangsa Portugal itu melakukan bentesan bahaya dengan menapak lawannya.

Harus diakui, sepanjang 57 minit di atas padang, Felix beraksi sangat baik. Dia menjadi ancaman utama Fulham. Pemain paling banyak percubaan tepat dan gelecekan berjaya.

Ini bermakna, Joao Felix akan menghabiskan 1 daripada 6 bulan tempoh dia di Chelsea dengan berada di tempat duduk penyokong.

Beraksi dengan 10 pemain, Chelsea masih mencipta beberapa peluang lagi, namun Fulham mengambil kesempatan ke atas pertahanan lemah dan longgar Chelsea.

Carlos Vinicius menanduk masuk bola minit ke-73 untuk gol kemenangan Fulham.

Tamat perlawahan, Fulham 2 Chelsea 0.

Ini adalah kekalahan keenam Chelsea dalam lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua kompetisi.

Ianya rekod terburuk mereka sejak 1993 untuk rekod 8 perlawanan terakhir.

Di media sosial, ramai mempersoalkan kenapa Chelsea memecat Thomas Tuchel dan menggantikannya dengan Graham Potter.

Januari 2023 ternyata tidak indah buat Potter setakat ini. Chelsea tersingkir dalam 2 pertandingan piala domestik dan terus bergelut di pertengahan carta liga.

Namun ada juga yang kekal positif dan meminta agar Potter terus diberikan masa. Ini kerana buat masa ini Chelsea berdepan masalah kecederaan yang sangat kritikal.

Mereka yakin apabila pemain pemai  seperti Reece James, N’golo Kante dan Raheem Sterling kembali cergas, mereka akan dapat melihat hasil sebenarnya ‘air tangan’ Potter.