Bekas ketua jurulatih skuad B-23 Tahun negara, Frank Bernhardt mungkin kembali menjadi pengendali kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super musim 2023.

Sebelum ini, wartawan The Star, T.Avineshwaran mendedahkan sebuah pasukan yang sedang bergelut dalam saingan Liga Super telah menghubungi jurulatih itu untuk bertanyakan sama ada beliau sedia untuk mengambil alih sebagai ketua jurulatih.

Di ruangan komen, ramai peminat yang beranggapan kelab yang dimaksudkan oleh Avineshwaran ialah pasukan yang masih belum meraih kemenangan dalam saingan liga dan menghuni dua tangga tercorot dalam carta liga.

Namun begitu, kelibat Frank Bernhardt ketika aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad VI, Kota Bharu menjadi tular di media sosial sekaligus mengaitkannya dengan pasukan TRW Kelantan.

Kali terakhir Frank Bernhardt terlibat dalam saingan Liga Super ialah pada musim 2021 ketika beliau membimbing UiTM FC dimana beliau direhatkan oleh penguruskan pasukan pada bulan Ogos setelah mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, para penyokong TRW Kelantan sudah mula meramalkan jurulatih dari Jerman itu kemungkinan akan menggantikan tempat Choi Mun-sik sebagai pengendali baharu pasukan itu.

Sejak dibawah bimbingan Choi Mun-sik, TRW Kelantan hanya mengumpulkan 4 mata dan menduduki tangga ke 10 dalam kedudukan Liga Super 2023 selepas mengharungi 5 perlawanan.

Tugas sukar sedang menanti pasukan tersebut apabila dijadualkan bertemu Negeri Sembilan FC pada 1 April 2023 di Paroi sebelum menentang tiga pasukan kuat iaitu Terengganu, Selangor dan Sabah sepanjang bulan ramadan.

Jika tewas dalam semua perlawanan, TRW Kelantan berpotensi menghuni kedudukan tercorot liga.

Mereka juga akan menghadapi pusingan kedua Piala FA dan situasi seperti ini sudah pasti memaksa pengurusan TRW Kelantan memilih jurulatih terbaik untuk mendapatkan kemenangan.