Bekas penjaring terbanyak saingan Liga Super, Francis Forkey Doe dikhabarkan semakin hampir untuk menggantikan penyerang import pasukan Pahang, Ze Love bagi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Forkey Doe ketika ini menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah dan kehadiran beliau menguatkan lagi spekulasi bahawa pemain dari Liberia ini akan menggantikan Ze Love yang sering mendapat kritikan ekoran prestasi yang ditampilkan tidak seperti yang diharapkan.

Ze Love
Sumber Gambar: BH

Dalam saingan Liga Super, Love hanya menjaringkan empat gol setakat ini dan catatan tersebut nyata tidak disenangi oleh Dollah. Tambahan pula seorang lagi penyerang import, Dickson Nwakaeme kerap mengalami kecederaan dan Love menjadi satu-satunya harapan untuk mencari gol bagi Pahang.

Nama Francis Forkey Doe sendiri bukanlah satu nama yang asing dalam saingan Liga Malaysia. Pemain berusia 33 tahun ini berjaya memenangi Kasut Emas Liga Super musim 2012 ketika beraksi bersama Terengganu. Forkey Doe kemudiannya mengembara dengan beraksi bersama beberapa pasukan seperti Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Felda United dan musim lalu beliau beraksi bersama Pahang.

Lazarus Kaimbi
Sumber Gambar: Football Tribe

Selain Forkey Doe, seorang lagi pemain iaitu Lazarus Kaimbi turut menjalani latihan bersama pasukan Pahang. Musim lalu, bekas penyerang Bangkok Glass, Chiangrai United dan Suphanburi itu menyertai Kelantan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

Namun, Kelantan terpaksa menggantikan Kaimbi dengan Cristiano Santos ekoran kecederaan yang dialami oleh pemain itu.

Baca Juga: 4 Gandingan Serangan Terbaik Liga Super Setakat Ini