Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) merancang untuk menganjurkan pertandingan AFC Champions League (ACL) dan AFC Cup secara karnival di satu venue yang terpilih pada tahun ini berikutan peningkatan kes COVID-19 di beberapa negara.

Ia akan jadi musim kedua dijalankan dalam format tersebut setelah mereka berjaya menganjurkan saingan ACL di Doha, Qatar yang membabitkan 26 pasukan dari zon timur dan barat pada tahun lepas.

Tuan rumah yang terpilih dinilaikan berdasarkan kemampuan mereka memenuhi keperluan logistik seperti penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR), penginapan serta infrastruktur perubatan.

Sebuah portal bola sepak dari Thailand turut mengesahkan perkembangan itu namun AFC belum mengumumkan venue rasmi untuk saingan kelab kelas tertinggi Asia edisi 2021.

Difahamkan saingan peringkat kumpulan ACL 2021 akan berlangsung pada 14 April hingga 30 April 2021 (Zon Barat) serta 21 April hingga 7 Mei 2021 (Zon Timur) dan setiap pasukan daripada satu kumpulan akan bermain sebanyak 6 perlawanan di venue yang terpilih.

Juara kumpulan dan 6 pasukan daripada tempat kedua terbaik setiap kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati (16 pasukan).

Manakala saingan peringkat kumpulan AFC Cup 2021 dijadualkan berlangsung pada 14 Mei hingga 20 Mei 2021 (Zon Selatan & Timur), 23 Mei hingga 29 Mei 2021 (Zon Barat) serta 22 Jun hingga 28 Jun 2021 (Zon ASEAN) di venue yang terpilih.

Setiap pasukan dari zon ASEAN akan bermain dalam 3 perlawanan diikuti separuh akhir zon ASEAN pada 10 atau 11 Ogos dan seterusnya perlawanan akhir zon ASEAN pada 25 Ogos 2021.

Juara ASEAN akan kemudian akan menentang juara dari zon selatan, tengah dan timur di peringkat separuh akhir ‘Inter-Zonal’ pada bulan September 2021. Perlawanan akhir akan diadakan pada 26 November 2021.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John turut mengesahkan perkembangan itu dalam laporan Berita Harian pada bulan lalu.

“Ya (mengenai format baharu). Tetapi kita akan membuat pengumuman rasmi mengenai perkara itu dalam masa terdekat. Venue untuk Piala AFC juga akan diputuskan nanti.

“Perkembangan ini pun sudah dimaklumkan kepada semua persatuan kebangsaan. Setakat ini, ia hanya membabitkan saingan Piala AFC. Bagi saingan Liga Juara Juara Asia (ACL), kita belum putuskan bagaimana,” katanya.

Undian rasmi ACL 2021 dan AFC Cup 2021 akan berlangsung pada 27 Januari ini di AFC House, Bukit Jalil. Malaysia diwakili oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan bertanding dalam saingan ACL manakala Kedah dan Terengganu FC beraksi dalam AFC Cup.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Chanathip Songkrasin Di Ranking Ke-5 Senarai Jualan Jersi Paling Laris Kelab Consadole Sapporo

Hadi Fayyadh Diperkenalkan Sebagai Pemain Azul Claro Numazu, Pakai Jersi Nombor 27 Musim 2021

“6 Tahun di Malaysia, Kemampuan Individu Pemain Malaysia Masih Dibawah Indonesia.”- Jaino Matos

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group