Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan dua pertandingan bola sepak peringkat pembangunan iaitu Piala Presiden dan Piala Belia akan dijalankan dengan format baharu untuk musim 2021.

Format kedua-dua pertandingan ini diubah selepas mengambil kira situasi pandemik COVID-19 yang masih melanda negara ketika ini selain seiring dengan pendekatan FAM dalam menjadikan tahun 2021 sebagai ‘transitional year’ atau tahun peralihan untuk mengemudi pertandingan-pertandingan di bawah kelolaan FAM untuk tahun ini selain untuk memastikan kesinambungan liga sehingga akhir musim.

Sebanyak 19 pasukan akan menyertai Piala Presiden manakala 20 pasukan telah menghantar permohonan untuk menyertai Piala Belia musim 2021.

Menurut kenyataan rasmi FAM, format pertandingan baharu Piala Presiden dan Piala Belia musim 2021 akan di kategorikan berdasarkan kedudukan geografi mengikut zon yang terdiri daripada zon Selatan, Barat, Utara, Timur dan Tengah (termasuk Sabah dan Sarawak) yang akan bermula Jun ini.

Pasukan-pasukan ini akan dibahagikan kepada tiga kumpulan di mana Kumpulan A akan dianggotai oleh pasukan-pasukan dari Zon Selatan, Barat dan Tengah; Kumpulan B dibarisi pasukan-pasukan dari Zon Utara dan Tengah manakala Kumpulan C disertai pasukan-pasukan dari Timur, Barat, Tengah.

PP-118PERLAWANAN-01

Selain itu, format pertandingan baharu ini dilakukan untuk mengendalikan setiap kumpulan pasukan secara bebas antara satu sama lain bagi memastikan liga dapat ditamatkan dalam jangka masa yang ditetapkan lebih-lebih lagi di dalam waktu mencabar ini sekaligus dapat mengurangkan kos perjalanan pasukan antara negeri.

Format baharu kedua-dua pertandingan ini juga merangkumi peringkat kumpulan di mana pasukan teratas bagi ketiga-tiga kumpulan akan berentap di pusingan kalah mati setelah tamat peringkat kumpulan.

Untuk saingan Piala Belia, 16 pasukan terbaik terdiri daripada pasukan teratas Kumpulan A, pasukan teratas Kumpulan B dan pasukan teratas Kumpulan C serta satu pasukan terbaik tempat keenam dari Kumpulan A, B atau C akan bertemu pada Pusingan 16, dengan lapan pemenang akan mara ke Suku Akhir, seterusnya Separuh Akhir dan Final.

PB-130PERLAWANAN-02

Perlawanan-perlawanan bagi Pusingan 16, Suku Akhir dan Separuh Akhir juga akan dijalankan dengan format satu perlawanan sahaja (tiada timbal balik) manakala Final akan berlangsung secara timbal balik.

Peraturan serta aplikasi format baharu ini dilihat digunapakai di peringkat antarabangsa bagi memastikan perkembangan pertandingan selain pasukan dapat meneruskan perlawanan susulan format pertandingan yang boleh mengelakkan penundaan dan pembatalan perlawanan.

FAM turut memaklumkan senarai pasukan serta jadual perlawanan buat kedua-dua pertandingan ini akan diumumkan pada awal April ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Kelantan FC Jana RM43,972 Hasil Jualan Siaran ‘Pay-Per-View’ Dan Jersi Edisi Khas Bertemu Perak II

Lebih 30 Pemain Akan Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Harimau Malaya

Penyokong Kuala Lumpur ‘Bengang’ Dengan Pengurusan Pasukan, #TAMKeterehOut Jadi Perhatian