Ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Alexandre Polking resmi meninggalkan skuad B-23 tahun negara tersebut setelah temasya Sukan SEA 2021 menutup tirai baru-baru ini.

Mano Polking yang membantu Thailand memenangi pingat perak selepas tewas kepada tuar rumah iaitu Vietnam pada perlawanan akhir akan kembali mengendalikan skuad senior dan Worrawoot Srimaka diberikan kepercayaan untuk mengendalikan skuad B-23 tahun.

Kejayaan Thailand memenangi Piala AFF Suzuki 2020 pada awal tahun ini nyata menarik minat pengurus pasukan, Nualphan Lamsam atau Madam Pang untuk memberikan tugasan Sukan SEA kepada Alexandre Polking.

Jurulatih berdarah campuran Jerman-Brazil itu diberikan sasaran untuk memenangi pingat emas setelah kali terakhir Thailand muncul sebagai pemenang ialah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Akan tetapi, hajat Thailand untuk kembali merampas pingat emas tidak kesampaian apabila Vietnam dibawah kendalian Park Hang-seo tampil cemerlang pada perlawanan akhir sekaligus berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi ketika temasya edisi 2019 di Filipina.

Sebelum ini, Park Hang-seo turut meninggalkan skuad B-23 tahun Vietnam kerana beliau mahu memberikan fokus terhadap pasukan senior.

Pembantu kepada Hang-seo iaitu Gong Oh-kyun dilantik sebagai pengganti dimana beliau sebelum ini bertugas sebagai pembantu kepada jurulatih berusia 64 tahun itu.

Thailand dan Vietnam akan beraksi dalam saingan AFC B-23 tahun yang akan diadakan di Uzbekistan bermula pada satu Jun ini dan mereka diundi dalam kumpulan C bersama Korea Selatan dan satu lagi pasukan dari Asia Tenggara iaitu Malaysia.

Thailand akan turun menentang Vietnam pada aksi pembukaan pada 2 Jun ini manakala Malaysia akan menghadapi Korea Selatan. Pada aksi kedua peringkat kumpulan, Thailand akan menghadapi Malaysia pada 5 Jun manakala Vietnam akan turun menentang Korea Selatan.

Aksi terakhir kumpulan menyaksikan Thailand akan berdepan Korea Selatan manakala Malaysia akan menentang Vietnam. Dua perlawanan ini akan berlangsung pada 8 Mac.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Kim Pan Gon Sedang Siapkan Senjata Rahsia Untuk Skuad Harimau Malaya

Sanusi Enggan Balas Pertanyaan TMJ, Bimbang Dilabel Sebagai ‘Derhaka’

Park Hang-seo Tinggalkan Skuad B-23 Tahun Vietnam