Perkembangan positif dapat disaksikan oleh pemain futsal negara yang berkelana ke Thailand, Muhammad Firdaus Zulkefli apabila beliau telah menjaringkan gol pada dua aksi persahabatan bertemu Universiti Sukan Kebangsaan Thailand, Angtong dan Universiti Chandrakasem Rajabhat.

Meskipun dua gol itu terhasil ketika berdepan dengan pasukan universiti tempatan, keadaan itu memberikan gambaran jelas bahawa Firdaus sudah mula menyesuaikan diri dengan baik bersama rakan sepasukannya di National Telecom FC.

Ketika dihubungi wakil Vocket FC, Firdaus turut mengakui perkara sama dan berpendapat banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki olehnya menjelang perlawanan liga pada 23 Oktober ini.

Sekiranya diberikan peluang beraksi, Firdaus bakal diturunkan pada aksi bertemu pasukan ditangga keempat liga, Hongyen Thakam di gelanggang sendiri.

“Hampir dua minggu saya bersama pasukan, boleh dikatakan saya sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling yang merupakan persekitaran baharu buat saya. Begitu juga ketika bersama rakan sepasukan pada sesi latihan, semuanya berada dalam keadaan baik,” ujar Firdaus.

“Cuma intensiti latihan yang terlalu tinggi kerana sudah terlalu penat membuatkan kadangkala saya berdepan sedikit kesukaran tetapi dengan bantuan rakan sepasukan serta galakan daripada jurulatih (Weerayuth Taweegun), ia benar-benar membantu saya.”

Kredit Foto: National Telecom FC

“Keadaan memang cukup berbeza jika hendak dibandingkan dengan sesi latihan di Malaysia. Di sini, sesi latihan sebelah petang memakan masa hampir empat jam dan ‘demand’ daripada jurulatih sangat tinggi terhadap satu-satu sesi tersebut.”

“Ia memang pengalaman yang cukup berharga buat saya dimana saya sudah mula serasi dan cukup gembira dengan keadaan baharu tersebut. Malah, ‘Coach’ Weerayuth juga sentiasa memberikan kata-kata positif untuk saya terus belajar dan bersabar.”

“Saya sedar ia bukan tugas mudah tetapi dari masa ke masa saya perlu bekerja keras untuk lebih menyesuaikan diri dengan baik kerana perlawanan sebenar nanti lebih besar cabarannya.”

Selain itu, Firdaus turut mendedahkan seluruh warga National Telecom menjaga kebajikannya dengan baik sejak dari hari pertama beliau menjejakkan kaki di pusat latihan kelab tersebut.

“Pihak kelab menyediakan tempat tinggal dan ia selesa buat saya, tiada masalah daripada segi itu.”

“Sementara itu, rakan sepasukan pula menerima kehadiran saya dengan baik walaupun kita ketahui saya bukanlah pemain dengan nama besar dan datang pula dari Malaysia [ranking lebih rendah daripada Thailand]. Selain rakan-rakan, ‘Coach’ Weerayuth juga begitu mengambil berat tentang saya terutamanya ketika di luar gelanggang.”

“Keadaan ini membuatkan saya begitu selesa berada dalam pasukan ini dan tiada apa yang perlu saya lakukan selain daripada untuk terus berusaha memperbaiki kelemahan diri sekali gus dapat memberikan sumbangan berkesan buat National Telecom,” tambah Firdaus Zulkefli lagi.