Muhammad Firdaus Zulkefli melakar dimensi baharu bagi arena futsal tanah air apabila beliau bakal menjadi pemain pertama dari Malaysia yang akan beraksi dalam saingan Liga Futsal Thailand.

Hal ini kerana pemain kelahiran Ipoh itu sebentar tadi telah diumumkan sebagai rekrut baharu kelab yang kini menghuni tangga kesembilan liga, National Telecom FC.

Firdaus dilaporkan telah memeterai kontrak selama sehingga tamat liga bersama kelab yang berpangkalan di Nonthaburi itu dan diberikan jersi bernombor 23.

Dengan pengumuman rasmi yang dibuat kelab tersebut, Firdaus berpeluang untuk beraksi dengan lebih kompetitif di sana apatah lagi perlu berhadapan dengan kelab gergasi seperti Chonburi Bluewave, Port FC, Hongyen Thakam, Black Pearl United dan Bangkok BTS.

Satu pengalaman cukup bernilai buat pemain berusia 27 tahun itu di saingan yang lebih tinggi dimana beliau turut pernah membuat penampilan bersama skuad futsal kebangsaan ketika Sukan SEA 2021 di Vietnam, Mei lalu.

Peluang yang terhidang ini umpama mimpi menjadi kenyataan buat Firdaus kerana beliau sememangnya mengimpikan untuk keluar daripada zon (bagi menyertai pasukan di luar negara) sekali gus mahu berusaha keras meningkatkan lagi kemampuannya dalam futsal.

Difahamkan, kempen Liga Futsal Thailand yang sudah berlangsung 13 perlawanan berehat buat seketika kerana memberikan laluan kepada tugasan skuad kebangsaan yang akan menghadapi Piala Asia Futsal 2022 di Kuwait bermula 27 September hingga 8 Oktober nanti.

Firdaus sudah mula menjalani sesi latihan bersama pasukan.

Dengan 14 pasukan yang bertanding, ini bermakna Firdaus masih mempunyai 13 perlawanan lagi untuk membuktikan kemampuannya dalam usaha membantu National Telecom memperbaiki kedudukan skuad kendalian Weerayuth Taweegun itu.

Seperti diketahui, Thailand merupakan pasukan yang berada di ranking ke-21 dunia dan pernah merasai nikmat beraksi dalam kancah Piala Dunia sebanyak enam edisi berturut-turut sejak tahun 2000.

Dengan reputasi hebat dimiliki tidak hairanlah Liga Futsal Thailand sentiasa melahirkan barisan pemain berkualiti buat skuad kebangsaan mereka tambahan pula dengan nilai komersial yang tinggu mampu menarik minat penaja untuk setiap pasukan konsisten dari aspek kewangan.

Dalam kancah Liga Futsal Kebangsaan dan kemudiannya dijenamakan sebagai Liga Premier Futsal Malaysia, Firdaus Zulkefli pernah bermain bersama KL KWSP, Perak dan Pulau Pinang.

Bagi menjelaskan kekeliruan peminat, sebelum ini pemain seperti Khairul Effendy Mohd Bahrin, Qaiser Hesham Kadir, Fadzil Karnim turut pernah beraksi di Thailand tetapi bukan bersama kelab liga utama di sana.