Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe sememangnya cukup mengenali beberapa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika membimbing pasukan kebangsaan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat ia sebagai kelebihan walaupun mengetahui serba sedikit kekuatan pemain lawan menjelang aksi final TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada malam esok.

“Bagi saya, itu bukan satu kelebihan kalau kita lihat pemain JDT yang bersama saya juga tahu cara taktikal permainan yang saya nak serapkan kepada pasukan Selangor.

“Walaupun saya tahu dan faham kekuatan setiap pemain JDT, tetapi itu bukan jaminan untuk saya dan pasukan Selangor menang perlawanan tersebut. Sebaliknya saya selalu beritahu pemain, yang penting ialah persembahan pada malam itu.

“Kalau pemain dapat pamerkan persembahan terbaik, kita boleh dapat satu keputusan yang positif,” katanya ketika sidang media.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2022

Malah,beliau juga mengharapkan pemain-pemain tidak berasa terlalu gemuruh apabila beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong dan yakin Selangor ada mempunyai peluang untuk melakar kejuaraan.

“Sebagai jurulatih, sudah tentu ada impian tersendiri apabila masuk ke perlawanan akhir namun saya kena tahu kemampuan pasukan tambahan saya juga masih baru dengan pasukan.

“Saya tidak mahu meletakkan terlalu banyak tekanan kerana rata-rata kita boleh lihat pemain Selangor masih muda dan ada antara mereka pertama kali main di final Piala Malaysia.

“Harap pemain-pemain boleh berikan fokus pada malam esok dalam suasana stadium yang dibanjiri peminat kerana mereka pasti gemuruh tetapi sebagai jurulatih saya percaya sesiapa sahaja yang diturunkan boleh beri yang terbaik,” katanya.

Dalam masa sama, Cheng Hoe memberikan bayangan akan memilih Richmond Ankrah sebagai pengganti Yazan Al-Arab di bahagian pertahanan selepas pemain kebangsaan Jordan itu digantung satu perlawanan ekoran meraih kad merah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada separuh akhir kedua TM Piala Malaysia.

“Ketiadaan Yazan memang satu kehilangan besar dan dia beraksi di bahagian pertahanan dengan Afro (Sharul Nazeem Zulpakar) dengan cukup baik namun kita dapat lihat semasa perlawanan separuh akhir pertama berdepan Terengganu, Richmond ada diturunkan dan dia beraksi dengan cemerlang, harap dia bola galas tanggungjawab untuk perlawanan esok,” katanya.

Kali terakhir Cheng Hoe tampil di pentas TM Piala Malaysia ialah pada musim 2016 ketika beliau bersama Kedah yang berjaya menewaskan pasukan yang diwakilinya kini, Selangor menerusi penentuan sepakan penalti 6-5.

Sejak mengambil alih Selangor pada 24 September lalu, rekod Cheng Hoe begitu cemerlang apabila skuad The Red Giants hanya tewas sekali iaitu pada separuh akhir kedua TM Piala Malaysia kepada Terengganu, 0-1.