Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Malaysian Football League (MFL) memutuskan bahawa tiket perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021 akan diagihkan kepada dua pasukan yang layak ke pentas final untuk dijual kepada penyokong masing-masing iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City (KL City).

Keputusan ini diambil oleh MFL bagi memastikan tiket yang dijual dapat dibeli oleh penyokong pasukan finalis secara sama rata dan adil.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, daripada 20,000 keping tiket yang diperuntukkan bagi perlawanan akhir edisi 100 tahun Piala Malaysia ini, setiap pasukan finalis akan diberikan sebanyak 9,000 keping tiket untuk dijual menerusi Tickethotline.

“Pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya membenarkan 20,000 penonton hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan akhir TM Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 November 2021.

“Justeru MFL membuat keputusan untuk mengagihkan sebanyak 9,000 keping tiket kepada pasukan yang mara ke pentas final untuk dijual kepada penyokong mereka dengan kerjasama Tickethotline manakala baki tiket pula komitmen MFL kepada penaja-penaja,” katanya.

Harga tiket perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021 mengikut empat tier bermula dengan General Admission yang berharga RM50 dan RM70, Premium General Admission (RM80) serta Premium Grandstand (RM150).

“MFL telah menetapkan harga tiket bagi perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021 adalah sama seperti harga tiket pada 2019. Meskipun MFL terpaksa menanggung peningkatan kos penganjuran tahun ini dan tiket hanya diperuntukkan sebanyak 20,000 tempat duduk, MFL masih mengekalkan harga tiket walaupun dengan jualan kuantiti tiket yang agak terhad.

“Buat masa ini, sejumlah 20,000 tiket tempat duduk terbuka akan dijual mengikut kapasiti penonton yang dibenarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi MFL telah mengemukakan permohonan kepada MKN agar jumlah itu dapat ditambah.

“Selain itu MFL juga telah memohon untuk penonton dibenarkan makan dan minum di dalam stadium dan kami berharap permohonan itu akan mendapat pertimbangan sebaiknya daripada pihak MKN,” kata Stuart dalam satu kenyataan rasmi.

Para penyokong boleh membuat pembelian tiket menerusi pautan tickethotline.com.my pada Sabtu, 27 November 2021 bermula jam 12 tengah hari.

Baca artikel lain mengenai perkembangan TM Piala Malaysia 2021 melalui pautan dibawah. 

Piala Malaysia 2021: Tiga Jaringan Pantas Pastikan JDT Bergaya Ke Final

Piala Malaysia 2021: Penantian Ke Final Kuala Lumpur City Dinoktahkan

MKN Kekal Dengan Keputusan Tidak Benarkan Penyokong Makan Dan Minum Di Dalam Stadium

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group