Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2022 di antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 September ini jam 9.00 malam.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Penggunaan SNBJ mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini selepas MFL serta pihak pengurusan TFC dan JDT telah membuat pemeriksaan teliti mengenai keadaan padang stadium itu bagi final edisi ke-32 Piala FA.

Dalam membuat pemilihan venue ini, MFL telah melalui proses yang panjang untuk menilai kemungkinan beberapa pilihan venue untuk penganjuran Perlawanan Akhir Piala FA 2022.

Bukan hanya faktor padang dijadikan keutamaan tetapi juga elemen-elemen yang amat penting seperti kemudahan dan perlindungan untuk penyokong kedua-dua pasukan, akses kepada perkhidmatan awam, ruang yang luas di sekeliling stadium yang akan membolehkan operasi keselamatan untuk puluhan ribu peminat yang akan berada di stadium, sokongan dan bantuan pihak berkuasa tempatan juga diambil kira.

Bagaimanapun, timbul kebimbangan dalam kalangan penyokong untuk hadir ke kawasan tersebut kerana terdapat konsert kumpulan band popular dari Indonesia, Dewa 19 yang turut berlangsung serentak bersebelahan SNBJ iaitu di Axiata Arena.

Lebih 50,000 penyokong JDT dan Terengganu akan membanjiri SNBJ ditambah pula dengan kehadiran 10,000 peminat setia Dewa 19 yang pasti memerlukan kawalan keselamatan lebih ketat.

Situasi ini juga dijangka akan menyebabkan kesesakan teruk di kawasan sekitar Bukit Jalil kerana ia melibatkan perhimpunan puluhan ribu manusia yang mahu menyaksikan konsert tersebut dan juga perlawanan akhir Piala FA.

Malah, para penyokong JDT dan Terengganu yang tiba dari jauh terpaksa memikirkan alternatif lain untuk hadir di Stadium memandangkan kawasan tempat letak kereta mungkin akan penuh serta berdepan kenaikan harga ‘parking’ yang melampau.

Pengangkutan LRT menjadi pilihan terbaik bagi mengelakkan kesesakan luar biasa dan pihak MFL perlu memohon kepada Rapid KL lebih awal untuk melanjutkan tempoh operasi Stesen LRT Bukit Jalil sehingga jam 2 pagi pada tarikh tersebut.

Selain itu, para penyokong dinasihatkan membeli token perjalanan balik lebih awal sebelum masuk ke stadium, atau pun menggunakan kad Touch ‘n Go untuk memudahkan urusan.

Mengenai penjualan tiket final Piala FA 2022, MFL akan mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan TFC dan JDT terlebih dahulu sebelum hebahan dilakukan dalam waktu terdekat ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Dihantar Ke FIFA Untuk Pencalonan Anugerah PUSKAS

RASMI: Selangor Umum Nidzam Jamil Sebagai Ketua Jurulatih Sementara

TRW Kelantan Jadikan Tuntutan Kes Fitnah Sebagai Sedekah

Piala FA 2022: JDT Mara Ke Final Selepas ‘Tibai’ Penang 6-1