Pihak Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penyokong yang sengaja mahu melakukan kekacauan dan keganasan pada perlawanan akhir Piala FA 2022 antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 September 2022.

OCPD Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin berkata, kesalahan membabitkan unsur-unsur berkenaan boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 147 atau 160 yang membawa kepada hukuman penjara.

Beliau juga memberi amaran yang pihak polis akan sentiasa memantau kepada kehadiran kumpulan-kumpulan yang cenderung mahu melakukan provokasi serta berniat mencetuskan pergaduhan sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

Final Piala FA Serentak Dengan Konsert Dewa 19, Bukit Jalil Dijangka Sesak Teruk Pada 10 September

“Bagi penyokong-penyokong Terengganu FC dan JDT, berkaitan dengan unsur-unsur ‘gangsterisme’, ‘hooliganism’ memang dititikberatkan dalam mesyuarat keselamatan antara PDRM dan FAM serta MFL.

“Buat makluman, dalam PDRM sendiri kami ada bahagian D7 yang berkaitan pencegahan kongsi gelap, maksiat dan sebagainya, kita sentiasa cakna akan kehadiran kumpulan-kumpulan sebegini yang berpotensi untuk timbulkan kacau ganggu pada malam tersebut.”

“Saya ingin berikan amaran kepada penonton-penonton yang datang supaya niat kita ikhlas untuk berikan sokongan kepada pasukan masing-masing dan tidak berniat timbulkan apa-apa perkara yang tidak diingini seperti rusuhan dan sebagainya.”

” Kita akan juga mengadakan tindakan tegas dan untuk makluman, kesalahan-kesalahan ini akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 147 atau Seksyen 160 dan boleh dihukum penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa FAM kali ketiga bagi penggal 2021-2025, baru-baru ini.

Selain itu, beliau menasihatkan para penyokong TFC dan JDT dapat merancang dengan teliti perjalanan ke SNBJ sambil memilih pengangkutan awam sebagai medium utama.

Penonton juga perlu peka dengan barang-barang terlarang yang tidak boleh dibawa sebelum masuk ke stadium agar tidak dirampas oleh pihak berkuasa.

” Pada malam tersebut, bukan sahaja perlawanan akhir Piala FA 2022 akan berlangsung tetapi beberapa program lain seperti konsert yang diadakan Axiata serta ‘fun fair’ dan expo.

“Penonton-penonton yang saksikan perlawanan tersebut harap dapat gunakan perkhidmatan awam disediakan Prasarana yang telah bersetuju melanjutkan waktu operasi sehingga jam 1 pagi.”

“Antara barangan yang dilarang bawa masuk ialah seperti payung, ‘powerbank’, pemetik api, senjata-senjata tajam dan sebagainya.”

“Pihak polis akan mengerahkan 1500 anggota serta pegawai polis untuk bertugas selain bantuan dari DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan Rela,” katanya.