Hari ini skuad bawah 19 tahun negara (B-19) akan turun beraksi pada perlawanan akhir Piala AFF B-19 menentang Laos di Stadium Patriot Chandrabhaga, Indonesia. Ini kali keempat skuad negara mara ke final berturut-turut.

Perlawanan malam ini juga merupakan peluang terbaik untuk skuad kendalian Hassan Sazali Waras memburu gelaran kedua selepas Malaysia menjuarai pada tahun 2018 ketika dibawah kendalian Bojan Hodak.

Hassan yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk menutup kempen di Jakarta itu dengan sesuatu yang manis untuk dihadiahkan kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada mereka.

“Bumi Indonesia mungkin memberi tuah kepada kita dan saya harap kita dapat ulangi kejayaan 2018. Final keempat ini pasti menjadi suntikan semangat buat pemain dan saya lihat moral barisan pemain juga sangat tinggi untuk final ini.

“Selepas berjaya ke final, sudah tentu kita mahu mendapatkan kejuaraan. Tiada guna kita bergelut di separuh akhir dan masuk ke final tetapi sekadar bermain tanpa mendapatkan gelaran.

“Gelaran itulah paling manis untuk kita kecap sepanjang kejohanan ini. Saya harap semua dapat mendoakan kejayaan buat kita di sini,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

Mengulas lanjut aksi berdepan Laos yang setakat ini merakam rekod sempurna dengan lima kemenangan, Hassan mengakui pasukan itu bukan lagi pasukan belasahan seperti dijangkakan apatah lagi skuad negara tewas 1-0 pada aksi kumpulan sebelum ini.

“Dari sudut pembangunan di peringkat usia sebegini, Laos menunjukkan peningkatan yang berbeza dan persiapan mereka juga lebih baik. Bukan setakat kelebihan individu tetapi mereka juga gemar menyerang balas pantas secara berkumpulan.

“Transisi selepas kehilangan bola juga amat baik kerana mereka amat berdisiplin. Jadi kita perlu mencari ruang seperti yang dilakukan ketika berdepan Vietnam sebelum ini,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Malaysia B-19 melalui pautan dibawah.

AFF B-19: Penyokong Indonesia Puas Hati Lihat Malaysia Bantai Vietnam 3-0

AFF B-19 2022: Skuad Muda Negara Tutup Mulut Pengkritik, Mara Ke Final

AFF B-19 2022: Lepasi Cabaran Getir Timor Leste, Malaysia Mara Ke Separuh Akhir