Pemain tengah Kuala Lumpur City, Akram Mahinan menyeru peminat skuad ibu kota itu untuk memenuhi stadium pada perlawanan akhir Piala AFC 2022 Zon Asean menentang kelab Indonesia, PSM Makassar pada 24 Ogos ini.

Akram berkata demikian setelah membantu pasukannya menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan 1-0 dalam saingan Liga Super semalam dan beliau mahu lebih ramai penyokong hadir pada aksi menentang PSM nanti.

“Alhamdulillah tiga mata. Perlawanan seterusnya final Piala AFC dan diharap stadium penuh. Ayuh warga Kuala Lumpur kita penuhkan stadium!,” kata Akram Mahinan.

Skuad ibu kota berjaya memperoleh kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan menerusi jaringan tunggal ketua pasukan, Paulo Josue pada masa tambahan separuh masa pertama sekaligus memberikan tiga mata kepada pasukan bimbingan Bojan Hodak.

Kuala Lumpur berjaya melangkah ke perlawanan akhir Zon Asean selepas menundukkan kelab Vietnam, Viettel pada aksi separuh akhir dengan keputusan 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti dimana kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar permainan.

Penjaga gol Azri Abdul Ghani muncul wira buat KL City apabila beliau cemerlang dalam menepis sepakan ketujuh Viettel yang diambil Duy Thuong Bui sekali gus membawa pasukannya ke final untuk bertemu PSM Makassar.

Bagi kelab Liga 1 Indonesia itu, mereka menewaskan satu lagi wakil Malaysia iaitu Kedah Darul Aman dengan keputusan 2-1 pada aksi separuh akhir sekaligus mara ke pentas akhir dengan bertemu juara Piala Malaysia 2021.

Kuala Lumpur berpeluang untuk mara ke perlawanan akhir Antara Zon (Inter-Zone) jika berjaya menewaskan PSM Makassar setelah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) yang menyaksikan ATK Mohun Bagan yang terlebih dahulu mara ke peringkat separuh akhir Antara Zon tidak dibenarkan untuk turun beraksi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Musim 2022 Belum Tamat, Zamsaham Senaraikan Penaja TRW Kelantan Bagi Tahun 2023

Liga Super 2022: Terengganu Tambah Derita Selangor

Peminat TRW Kelantan Berminat Beli Saham Pasukan Bernilai RM3 Juta