Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dilaporkan akan mengadakan perlawanan akhir kejohanan AFC Champions League 2020 (ACL) di gelanggang neutral bagi mengelakkan penyebaran wabak pandemik COVID-19 menurut laporan daripada Tehran Times.

Akhbar Qatar, Al Watan turut melaporkan hasil daripada mesyuarat bersama wakil kelab semalam, semua pasukan telah bersetuju memberikan komitmen untuk menghadapi saingan ACL dengan format baharu yang akan diumumkan oleh AFC dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John dalam satu kenyataan berkata saingan ACL akan kembali pada bulan Ogos 2020 dengan format satu pusingan. Hal ini kerana beberapa negara mempunyai sekatan perjalanan untuk kemasukan warga asing.

Juara ACL 2020 perlu diumumkan pada tahun ini bagi menentukan wakil Asia ke Kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA yang akan berlangsung di Qatar pada bulan Disember.

“Berdasarkan maklum balas daripada semua wakil dalam mesyuarat, AFC akan membentangkan format baharu dan tarikh perlawanan sebelum dihantar kepada Jawatankuasa Pertandingan untuk dinilaikan,” kata kenyataan daripada badan induk bola sepak Asia itu.

Bagaimanapun, Windsor John menjelaskan pihaknya perlu menunggu semua negara anggota menyambung semula saingan liga domestik masing-masing sebelum membuat keputusan rasmi.

Daripada 12 negara yang terlibat dalam saingan ACL, hanya Liga Korea Selatan sedang berjalan ketika ini manakala beberapa liga di negara lain masih ditangguhkan serta ada yang bakal sambung pada bulan depan.

“Kami perlu menunggu semua liga domestik bermula dahulu. AFC masih di peringkat perbincangan untuk memutuskan tarikh perlawanan sebenar,” katanya.

John juga mengatakan itu adalah “tanda positif” bahawa sukan mulai kembali di seluruh dunia, sambil menambah bahawa AFC mempunyai beberapa rancangan luar untuk mengatasi masalah sekatan perjalanan.

“Kami tahu semua pemegang taruh, para penyokong bola sepak dan penaja tidak sabar untuk menyaksikan saingan ACL bersambung. Pemain juga cukup bermotivasi untuk turun beraksi mempamerkan aksi terbaik.

“Tetapi AFC telah mengulangi sejak diawal wabak pandemik, tahap kesihatan semua orang menjadi keutamaan,” tegasnya.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASIA yang kami sediakan untuk anda.

Mu Kanazaki Pemain Kedua J. League Yang Disahkan Positif COVID-19

Project100: Kisah Menarik Bagaimana Filipina ‘Bangkit’ Dari FIFA Ranking 195 Sehingga Debut Piala Asia 2019

Vietnam Mungkin Seronok Liga Sudah Bermula, Tetapi Ramai Pemain Skuad Kebangsaan Mula Cedera