Pasukan kebangsaan Filipina mahu menyenaraikan lima pemain kacukan baharu bagi memperkuatkan pasukan menjelang perlawanan saingan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula pada September ini.

Dalam saingan pusingan kelayakan, The Azkals diundi dalam kumpulan A bersama China, Syria, Maldives dan Guam dimana mereka akan memulakan kempen menentang Syria di laman sendiri pada 5 September sebelum bertemu Guam di laman lawan pada 10 September.

Keputusan undian WCQ-01

Dalam usaha untuk memantapkan pasukan serta meningkatkan peluang untuk mencabar dalam saingan peringkat kelayakan yang akan berlangsung bermula September 2019 hingga June 2020, Persatuan Bola Sepak Filipina (PFF) mahu menyenaraikan lima pemain kacukan yang beraksi di luar Filipina.

Menurut pengurus pasukan, Dan Palami, pihaknya berharap dapat memanggil tiga pemain pertahanan iaitu Michael Kempter, Jesse Curran dan Elias Mordal serta dua pemain tengah, Raphael Obermair dan Amin Nazari untuk menyertai beraksi bersama pasukan.

Pemain kacukan Filipina
Michael Kempter, Jesse Curran dan Raphael Obermair.
Sumber Gambar: Fox Sport Asia

Kempter ketika ini beraksi di Switzerland bersama FC Zurich dimana pemain berusia 24 tahun itu beraksi di posisi pertahanan kanan manakala pemain yang dilahirkan di Australia, Jesse Curran ketika ini beraksi bersama Dundee United di Scotland.

Pemain berdarah kacukan Norway-Filipina, Elias Mordal pula beraksi bersama Brattvag IL dalam saingan Liga Norway. Raphael Obermair pernah beraksi bersama Bayern Munich dan ketika ini pemain berusia 23 itu mewakili kelab Austria, SK Sturm Graz. Seorang lagi pemain, Amin Nazari yang merupakan adik kepada bekas pemain Melaka United, Omid Nazari ketika ini beraksi bersama Ratchaburi Mitr Phol FC dalam saingan Thai League 1.

Amin Nazari
Amin Nazari

“Tempoh dua minggu yang akan datang penting untuk kami bagi memastikan lima pemain ini sedia untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan pada saingan peringkat kelayakan. Kami perlu bekerja keras bagi membawa masuk pemain tersebut jika mahu mempunyai satu pasukan yang mantap,” kata Palami menurut laporan Fox Sport Asia.

Kempter dan Nazari dikhabarkan telah mempunyai pasport Filipina dan tiga lagi pemain kini sedang dalam proses permohonan untuk mendapatkan pasport.