Skuad kebangsaan B-23 tahun Filipina mahu mendapatkan khidmat penyerang senior, Bienvenido Marañón untuk beraksi dalam temasya Sukan SEA edisi ke-31 yang dijadualkan berlangsung di Hanoi, Vietnam pada Mei ini.

Perkara ini dikongsikan oleh Asean Football di laman media sosial Twitter dimana selain Maranon, Filipina juga mahu mendapatkan seorang lagi penyerang senior iaitu Mark Hartman bagi memperkuatkan barisan serangan.

Pengurus pasukan, Dan Palami menyatakan beliau akan berbincang dengan beberapa pemain senior yang akan beraksi dalam dua aksi persahabatan menentang Malaysia dan Singapura pada akhir bulan ini bagi mencari pemain yang sesuai dengan keperluan skuad B-23 tahun negara itu.

“Kami mahu mencari penyerang untuk melengkapkan pasukan ini dan kami akan berbincang dengan beberapa pemain senior yang akan berkampung di Singapura. Kami akan melihat pemain mana yang bersedia.

“Bienvenido Marañón mahu beraksi bersama pasukan kebangsaan. Ini akan menjadi peluang keemasan bagi beliau beraksi di kejohanan antarabangsa. Ada Mark Hartman juga yang beraksi di posisi penyerang. Kami mempunyai pilihan,” katanya.

Maranon tampil buat kali pertama bersama skuad kebangsaan Filipina dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura selepas beliau mendapat kerakyatan negara itu pada Ogos tahun lalu.

Bienvenido Marañón
Sumber Gambar: Panay News

Pemain berusia 35 tahun itu berasal dari kaum Basque dan beliau mula beraksi dalam saingan Liga Filipina pada musim 2015 bersama Ceres-Negros atau yang kini dikenali sebagai United City FC.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu telah memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat domestik namun pencapaian beliau yang paling cemerlang ialah menjadi penjaring terbanyak saingan Piala AFC dengan 35 gol. Kesemua 35 jaringan yang dihasilkan oleh Maranon diperoleh ketika beliau beraksi bersama United City FC.

Pada saingan edisi 2019 di laman sendiri, Filipina menyenaraikan Stephan Schröck dan Amani Aguinaldo sebagai pemain lebih umur namun pasukan itu gagal untuk mara ke peringkat seterusnya dan hanya mampu menamatkan saingan di peringkat kumpulan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Taja Rumput Baharu Stadium Nasional Bukit Jalil, TMJ: Niat Saya Ikhlas

Stanley Bernard Bakal Tinggalkan Kuala Lumpur City

Khalid Ali Harap Pemain Malaysia Tahan Dengan Latihan Keras Kim Pan-gon