Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) semalam mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan mesyuarat mereka bersama setiausaha agung dan pegawai eksekutif daripada semua anggota bagi membincangkan mengenai isu penularan wabak pandemik COVID-19.

Badan induk bola sepak dunia itu sudah pun menubuhkan kumpulan kerja bagi membantu menangani impak wabak COVID-19 kepada perjalanan sukan itu yang melanda seluruh dunia.

Menurut kenyataan rasmi daripada FIFA, kumpulan kerja tersebut telah sebulat suara meluluskan cadangan menunda semua perlawanan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun ini terutamanya Kelayakan Piala Dunia 2022.

Mereka kini sedang menimbangkan tarikh baharu pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 tetapi ia bergantung kepada situasi semasa penularan wabak COVID-19.

Selain itu, kumpulan kerja FIFA turut mencadangkan agar peraturan had kelayakan umur pemain yang lahir pada atau 1 Januari 1997 dikekalkan untuk saingan Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan termasuk kemasukan 3 pemain lebih umur.

Ia bermakna pemain yang didaftarkan pada tahun ini yang berusia lebih 23 tahun pada 2021 layak beraksi bersama pasukan masing-masing.

Turut ditangguhkan ialah kejohanan Piala Dunia Wanita B-20 dan Piala Dunia Wanita B-17. Tarikh baharu akan diumumkan kemudian.  Bagaimanapun, kejohanan Futsal Piala Dunia di Lithuania akan berlangsung pada bulan September ini dan keputusan akhir akan dibuat pada penghujung bulan April 2020.

FIFA yang mempunyai rizab AS$1.5 bilion (RM6.47 bilion), berkata mereka sedang memikirkan cara untuk membantu komuniti bola sepak global.

“Bentuk bantuan berkenaan sedang dalam kajian dan dibincangkan dengan ahli gabungan FIFA, persekutuan dan rakan kongsi lain,” kata FIFA.

Ia turut menyebut tentang dana sokongan, namun perinciannya hanya akan diumumkan sebelum hujung minggu ini.