Badan Bola Sepak Dunia, FIFA mengesahkan Piala Dunia di Amerika Utara pada tahun 2026 akan menjadi kejohanan pertama yang disertai oleh 48 pasukan berbanding 32 pasukan ketika Piala Dunia Qatar tahun lalu.

Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico akan bermula dengan 12 kumpulan membabitkan empat negara sekumpulan. Ia adalah perubahan daripada perancangan format asal iaitu 16 kumpulan yang terdiri daripada 3 pasukan. 

“Format yang diubah itu memastikan tiada risiko pakatan sulit dan semua pasukan dapat bermain minimum tiga perlawanan yang memberikan keseimbangan masa rehat antara pasukan yang bertanding,” kata FIFA.

Ia bermakna akan ada 104 perlawanan, penambahan besar berbanding 64 perlawanan pada kejohanan 2022 dan ia lebih banyak berbanding perancangan asal untuk Piala Dunia 2026 yang menampilkan 80 aksi.

Perancangan asal FIFA untuk 2026 ialah 16 kumpulan membabitkan tiga pasukan dengan dua negara teratas akan mara ke kelompok 32 terakhir.

Format terbaharu itu memastikan dua tempat teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati bersama lapan pasukan tempat ketiga terbaik. Justeru, finalis dan pasukan bersaing merebut tempat ketiga dan keempat, akan bermain keseluruhan lapan perlawanan berbanding tujuh ketika ini.

Jumlah keseluruhan pasukan yang akan menerima slot automatik ke Piala Dunia 2026 ini adalah 46 pasukan. 2 lagi slot untuk mencukupkan 48 pasukan akan ditentukan melalui pusingan play-off.

Benua Asia telah diberikan 8.5 slot iaitu 8 automatik dan 0.5 merujuk kepada slot play-off. Ianya sekaligus bakal membuka peluang kepada negara Asia yang tidak pernah ke Piala Dunia termasuk Malaysia.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga telah merangka format baharu kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 untuk menentukan cara terbaik memilih pasukan ke Piala Dunia berdasarkan jumlah slot yang telah ditetapkan.