Tindakan penyokong Malaysia yang memberikan sorakan kepada pasukan Thailand selepas aksi separuh akhir kedua Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 semalam telah mendapat perhatian daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Walaupun skuad Harimau Malaya tewas 0-3 sekaligus gagal mara ke final menerusi aggregat 1-3 namun ia tidak menghalang sekumpulan penyokong Malaysia yang dikenali sebagai Ultras Malaya (UM) untuk menyatakan tanda hormat kepada pemain Thailand.

UM melontarkan sorakan “Sawadikap..Sawadikap Thailand” ke atas pasukan Gajah Perang itu selepas mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir bertemu Vietnam.

FIFA menerusi ciapan di laman twitternya, memuji semangat kesukanan penyokong Malaysia dan menyatakan ia adalah gambaran keindahan sebenar dalam sukan bola sepak.

“Perlawanan yang indah. Penyokong Malaysia menyatakan penghormatan kepada pemain Thailand selepas pasukan mereka tewas dalam Piala AFF,” tulis akaun twitter @FIFA.com.

Ciapan tersebut mendapat lebih 4,000 ‘RT’ dan lebih 6,000 ‘like’ sehingga artikel ini ditulis.

Pemerhati bola sepak Thailand, Ta Lao yang juga editor portal bola sepak negara tersebut iaitu ‘Main Stand’ turut menzahirkan rasa kagum dengan semangat luar biasa Ultras Malaya dan berhasrat untuk melihat lebih dekat di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

“Kali pertama dapat melihat sendiri Ultras Malaya dan inilah penyokong yang terbaik. Menghasilkan banner/tifo yang kreatif, sentiasa memberikan sokongan padu 90 minit tanpa henti dan menghormati pasukan lawan,” tulisnya di laman twitter.

Kemenangan skuad kendalian Mano Polking  tersebut telah menamatkan rekod tanpa kemenangan Thailand terhadap Malaysia selepas enam perlawanan, sejak tahun 2018.

Thailand merupakan pasukan paling banyak menjuarai Piala AFF sejak 1996, dan telah layak ke final sebanyak 10 kali setakat ini. Mereka tekad mengulangi pencapaian 2020 dengan menewaskan Vietnam di final yang bakal bermula pada 13 Januari ini.