Sejarah tercipta buat Piala Dunia Futsal apabila teknologi Video Support (VS) akan digunakan pada kejohanan edisi 2021 yang akan berlangsung di Lithuania pada 12 September hingga 3 Oktober nanti.

Penggunaan teknologi seumpama Video Assistant Referee (VAR) dalam bola sepak itu telah disahkan secara rasmi oleh laman sesawang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Keputusan tersebut diambil badan induk bola sepak dunia itu sejajar dengan dengan matlamat FIFA bagi memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan pengalaman bola sepak, seperti yang dinyatakan dalam The Vision 2020-2023.

Teknologi yang ditetapkan itu juga mampu memberi kesan positif kepada permainan futsal sekali gus aspek VS akan menjadi bahagian penting dalam proses persiapan untuk pengadil yang akan mengadili perlawanan melibatkan 24 pasukan di Lithuania nanti.

Antara manfaat yang bakal dinikmati pengadil dan pasukan bertanding susulan penggunaan VS ini adalah dalam menyediakan ulangan video untuk empat jenis kejadian ketika perlawanan berlangsung.

Ia melibatkan kejadian seperti menentukan kedudukan bola sudah melepasi garisan gol atau tidak, insiden sepakan penalti, kad merah yang diterima secara terus dan potensi kesilapan identiti.

Dengan tempo permainan futsal yang begitu pantas dapat disaksikan, penggunaan teknologi VS dilihat mampu untuk menjadi bantuan buat pengadil berhubung empat aspek tersebut.

“Ini adalah tonggak penting dalam futsal, pengenalan Video Support pada peringkat tertinggi dalam kejohanan antarabangsa. Ia akan menjadi sistem inovasi buat sukan ini, memungkinkan tinjauan cepat dapat dilakukan mengenai insiden di dalam gelanggang dalam usaha untuk membuat keputusan yang adil.”

“Sudah tentu dalam mengimplementasikan elemen baharu dalam sukan pastinya akan menghadapi cabaran. Namun, reaksi daripada komuniti futsal juga kelihatan cukup positif,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina.

Baca artikel lain mengenai Piala Dunia Futsal 2021:

Piala Dunia Futsal: Vietnam Hadapi Brazil, Thailand & Portugal ‘Berjodoh’

Thailand, Vietnam Kebanggaan ASEAN, Layak Ke Piala Dunia Futsal 2021

 

Sumber