• Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) akan bincangkan perubahan peraturan naturalisasi pada kongres yang berlangsung bulan ini
  • Bakal beri kelebihan kepada China untuk mendapatkan lebih ramai pemain naturalisasi

Persatuan Bola Sepak China (CFA) bakal menerima manfaat dari segi peraturan naturalisasi apabila FIFA dilaporkan akan membincangkan cadangan untuk mengubah polisi pengambilan pemain asing dalam skuad kebangsaan dalam kongres yang ke 70.

Sebelum ini, China telah menyenaraikan pemain kelahiran Brazil, Elkeson sebagai pemain naturalisasi bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Beliau adalah pemain naturalisasi kedua yang diberikan status warganegara selepas pemain kelahiran London, Nico Yennaris atau nama cinanya ialah Li Ke.

Menurut laporan daripada China Daily, mereka kini sedang menunggu kelulusan FIFA untuk mendaftar 3 lagi pemain naturalisasi iaitu Luo Guofu (aka Aloisio), Alan and Ricardo Goulart yang sudah menerima passport negara itu.

Peraturan baharu naturalisasi ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada China tetapi turut akan memberi peluang kepada negara kredil yang berada di rangking bawah 150 dunia untuk menguatkan pasukan masing-masing.

Antara cadangan perubahan peraturan pengambilan pemain naturalisasi ialah:

  1. Pemain asing yang telah dan pernah mewakili pasukan kebangsaan negara lain dalam pertandingan rasmi di semua peringkat umur layak beraksi dalam perlawanan antarabangsa berstatus ‘A’.
  2. Pemain yang tidak memiliki status kewarganegaraan dengan pasukan yang ingin diwakilinya dibenarkan beraksi.
  3. Pemain tersebut mestilah berusia bawah 21 tahun ketika kali terakhir mewakili negara lain.
  4. Pemain mempunyai keturunan bapa, mak, nenek atau datuk yang dilahirkan di negara tersebut dan telah menetap di negara itu sekurang-kurangnya 5 tahun.

Cadangan ini akan membuka pintu kepada China untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan Guangzhou Evergrande, Tyias Browning yang juga merupakan bekas pemain skuad England B-21.

Selain itu, penyerang Jiangsu Suning dari Brazil, Alex Teixeira dan pemain tengah Beijing Guoan, John Hou Saeter turut layak beraksi dengan skuad kebangsaan China kerana memenuhi salah satu cadangan peraturan naturalisasi itu.

Malah, pemain tengah Shanghai SIPG, Oscar Dos Santos yang pernah bermain untuk Brazil di Piala Dunia sedia melepaskan kerakyatan Brazil untuk menyarung jersi China.

alex_teixeira_10_of_jiangsu_suning_reacts_during_the_afc_champio_698564
Alex Teixeira

Presiden CFA, Chen Xuyuan menegaskan kemasukan pemain asing adalah untuk perancangan jangka masa pendek bagi mencapai sasaran layak ke Piala Dunia. Mereka merancang untuk menjadi kuasa gergasi Asia pada tahun 2030 dan gergasi dunia pada tahun 2050.

Kehadiran ramai pemain naturalisasi turut menimbulkan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan peminat bola sepak China yang mendakwa sistem pembangunan akar umbi di negara itu telah gagal.

Baca artikel lain mengenai pemain naturalisasi China melalui pautan dibawah. 

Li Tie Harap Lebih Ramai Pemain Naturalisasi Dapat Sertai Skuad China

Oscar Sedia Lepaskan Kerakyatan Brazil Untuk Sarung Jersi Skuad Kebangsaan China

Zhang Lu: China Sukar Kecapi Kejayaan Dalam Tempoh 20 Tahun, Naturalisasi Tidak Mampu Selesaikan Masalah Fundamental