Badan induk bola sepak dunia, FIFA telah mengeluarkan larangan merokok dan vape di kesemua stadium Piala Dunia 2022. Ianya adalah sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan suasana bebas asap rokok serta gaya hidup sihat.

Piala Dunia 2022 akan berlangsung dalam masa kurang dari seminggu, bermula pada 20 November akan datang.

Qatar kini dalam proses persiapan terakhir untuk mengalu alukan pelancong sukan ke negara mereka.

Demi kelancaran dan keselesaan sepanjang kejohanan itu, FIFA dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mahu mewujudkan kejohanan yang sihat dan selamat.

Ia juga bertujuan untuk mengawal penggunaan tembakau yang memudaratkan kesihatan serta nyawa.

“Setiap daripada tiga rakan kongsi telah lama mempromosikan langkah kawalan tembakau yang berkesan,” kata Rayaana Bou Haka, Wakil WHO ke Qatar.

“Sementara itu, ini juga untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya tembakau kepada kesihatan.”

“Qatar juga menyokong pelaksanaan dasar bebas tembakau di acara sukan FIFA.”

“Walaubagaimanapun, bukti menunjukkan bahawa acara sukan utama tanpa tembakau yang berjaya bergantung pada komunikasi yang berkesan dan penguatkuasaan dasar.”

Setakat ini, dasar yang akan dilaksanakan oleh FIFA adalah melarang merokok dan vape di sekitar dan di stadium.

Tempat khas akan disediakan untuk mereka yang ingin menjalankan aktiviti merokok atau vape di luar stadium pada jarak tertentu.

Ini bertujuan untuk melindungi hak orang ramai untuk dapat menghirup udara bersih, tidak dicemari oleh bahan berbahaya yang lain.

Selain itu, peraturan ini juga memberi impak kepada orang ramai dalam menjaga kesihatan mereka bersama FIFA dan WHO turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Qatar dalam mengetatkan larangan merokok dan Vape.

Seterusnya FIFA menyatakan bahawa mereka akan menggunakan pendekatan tegas, tolak ansur sifar kepada mereka yang melanggar peraturan penggunaan tembakau dan vape.

Ini bermakna sebelum ini FIFA memang sudah ada peraturan larangan merokok dan menggunakan vape di dalam stadium mereka semasa Piala Dunia, namun penguatkuasaannya tidak begitu tegas. Kali ini ianya akan diperketatkan.

“Piala Dunia FIFA di Qatar akan mempunyai penonton global seramai lima billion orang, yang memberikan bola sepak platform penting untuk perubahan sosial,” kata jurucakap FIFA, Federico Addiechi.

“Selama dua dekad, kejohanan global telah dimainkan dalam persekitaran bebas tembakau, tetapi kali ini merupakan langkah yang perlu untuk mengukuhkan lagi pelaksanaan dasar itu di Doha pada bulan November dan Disember. Kami komited untuk berbuat demikian.”