Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendedahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah memberi lampu hijau untuk menyenaraikan pemain naturalisasi dari Kosovo, Liridon Krasniqi dalam skuad Harimau Malaya.

Perkembangan itu disahkan dalam laporan Arena Metro hari ini dan pemain tengah JDT itu dijangka akan membuat penampilan sulung dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang UAE pada bulan Mac depan.

“Liridon sudah dapat ‘lampu hijau’ iaitu kebenaran daripada Fifa untuk disenaraikan beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Namun, ia bukan tiket untuk dipilih terus mewakili negara kerana perlu juga mendapat persetujuan daripada Cheng Hoe.

“Kita menilai pemain daripada persembahan terkini dan berharap Liridon memenuhi kriteria yang ditetapkan pengendali Harimau Malaya,” kata Yusoff Mahadi.

Tiga
Sumber Gambar: FAM

Bagaimanapun, tempat Liridon dalam skuad kebangsaan belum terjamin kerana beliau perlu menunjukkan prestasi yang baik dalam saingan Liga Super nanti untuk memikat pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Malaysia kini berada di tangga kedua dalam kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dengan 9 mata selepas mencatat 3 kemenangan ke atas Indonesia dan Thailand. Skuad negara turut mempunyai peluang untuk menempah tiket automatik ke Piala Asia 2023.

Justeru itu, FAM telah mengaturkan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan di ranking 99 dunia iaitu Bahrain bulan depan sebagai persiapan menghadapi UAE dan Vietnam pada 26 dan 31 Mac 2020.

Selepas Liridon, FAM juga sedang menunggu keputusan naturalisasi seorang lagi pemain di posisi serangan. Calon tersebut ialah bekas pemain import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dari Brazil yang mempunyai pengalaman beraksi dengan 18 buah kelab sepanjang karier bola sepaknya.

Bagaimanapun, proses naturalisasi De Paula memerlukan sedikit masa lagi untuk diselesaikan bagi memastikan FAM memenuhi segala ketetapan FIFA.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya yang mungkin anda terlepas pandang.

Yusoff Mahadi Mahu Skuad Harimau Malaya Takluk Asia Tenggara Pada Tahun 2020

Kelayakan Piala Dunia 2022: Aidil Zafuan Yakin Skuad Harimau Malaya Akan Melangkah Jauh

Kuwait Bakal Uji Kekuatan Harimau Malaya Pada Bulan Jun 2020

Sumber