FIFA dalam proses untuk mengeluarkan garis panduan dan peraturan baharu mengenai komisen ejen ataupun wakil pemain. Di mana selepas ini, ejen tidak boleh mengenakan bayarang agensi lebih daripada 6%.

Ini turut terpakai kepada komisen yang diterima oleh keluarga dan juga peguam yang mewakili seseorang pemain.

Berlaku trend tidak sihat di mana, ejen mengenakan bayaran melampau untuk mempengaruhi pemain berpindah ke sesebuah kelab.

Terbaru Mino Raiola dikatakan meminta sekurang kurangnya €40 juta bayaran untuk agensi beliau dan ayah Haaland sekiranya ada pasukan mahukan Haaland dari Borussia Dortmund.

Pemain itu dikatakan memiliki klausa pelepasan €75 juta pada tahun hadapan. Berlaku manipulasi di mana ejen akan memasukkan klausa pelepasan yang ‘mampu milik’ dan memaksa pasukan menerimanya.

Tahun lalu FIFA menerima laporan bahawa pasukan di England sahaja, membayar €450 juta kepada ejen pemain. Ianya sudah menjadi satu industri yang sangat luar biasa keuntungannya.

Oleh sebab itu FA Inggeris mulai membangkitkan perkara ini kepada FIFA. FIFA didapati sangat tidak efektif dalam mengawal kuasa ejen pemain pada ketika ini walaupun beberapa persatuan bola sepak sudah mengadu tentang perkara ini kepada mereka.

Manchester United dilaporkan membayar €48 juta secara keseluruhannya kepada Mino Raiola untuk perpindahan Paul Pogba satu ketika dahulu. Dan membayar €105 juta nilai perpindahan kepada Juventus.

Kini FIFA dalam proses untuk mengawal bayaran ejen. Di mana salah satu cadangan yang sedang dipertimbangkan adalah, bayaran ejen haruslah menerusi FIFA. Dan bayaran itu tidak melebihi 6% daripada nilai perpindahan. FIFA akan menyalurkan bayaran ejen itu kepada ejen yang mewakili pemain.

Selain itu FIFA juga mungkin akan mengetatkan durasi kontrak antara pemain dan ejen. Di mana ejen seseorang pemain perlu diberikan kontrak minimum 3 tahun untuk mewakili seseorang pemain berbanding 2 tahun seperti sebelum ini.

Ini dikira sebagai kelebihan yang akan diberikan kepada ejen selepas FIFA mengawal bayaran agensi pemain.

Peraturan baharu ini pastinya akan ditentang oleh golongan ejen yang digelar super agent.

Anda boleh bayangkan Mino Raiola hanya menerima €6 juta daripada perpindahan Haaland yang bernilai €100 juta selepas ini?

Seterusnya FIFA juga sedang memikirkan satu lagi kaedah iaitu caj agensi pada pemain dan kelab. Di mana pemain turut membayar ejen mereka daripada kontrak. 3% akan ditolak daripada gaji pemain secara keseluruhan dalam kontrak dan kemudian 3% sahaja yang akan dibayar oleh kelab pembeli.

Oleh itu, pemain tidak akan lagi lepas tangan dan hanya menyusahkan kelab yang membeli sahaja, jika ejen mereka meminta angka melampau.

Misalnya, Raiola meminta €40 juta daripada kelab yang mahukan Haaland. Maka Haaland perlu membayar €20 juta dan kelab pembeli pun kena bayar €20 juta. Anda rasa super agent akan setuju?

Bukan itu sahaja, selepas seseorang ejen itu menerima bayaran agensi 6% daripada sesebuah kelab. Mereka tidak boleh mengenakan bayaran agensi lagi ke atas kelab yang sama untuk dua jendela perpindahan jika mereka membawa masuk pemain mereka yang lain ke sana.

Sebelum ini berlaku pertikaian bagaimana Jorge Mendes membawa masuk ramai pemain Portugis ke Wolves dan menerima bayaran agensi yang sangat tinggi daripada kesemua pemain itu.

FIFA berharap peraturan baharu itu akan mengubah landskap pada budaya dalam jendela perpindahan pemain. Namun persoalannya, adakah FIFA benar benar pro aktif mahu melaksanakannya? Bila ia akan bermula?

Kerana Mino Raiola sudah memberikan bayangan bahawa dia sedang mencari kelab besar yang baharu untuk Erling Haaland selepas tamat musim ini.