Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memberi bayangan dua pemain naturalisasi, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi bakal menyarung jersi skuad Harimau Malaya tahun ini jika mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut kenyataannya dalam Sinar Harian, pihaknya sudah pun selesai menghantar semua dokumen yang diperlukan dan dijangka akan menerima maklum balas yang positif daripada badan induk bola sepak dunia itu pada bulan ini.

“Pada kita nampak positif untuk diluluskan sebab itu kami hantar borang tersebut kepada FIFA. Semua dokumen yang diperlukan FIFA juga kita penuhi tetapi kita tak tahu mungkin dari segi pandangan FIFA ada yang tidak kena.

“Namun, keyakinan kami tinggi bahawa ia akan diluluskan dan kedua-dua pemain itu dapat bermain bersama pasukan kebangsaan nanti,” katanya.

Liridon Krasniqi
Sumber Gambar: MUSA

Bagaimanapun, dua pemain ini masih belum didaftarkan sebagai kerakyatan Malaysia yang sah kerana perlu menunggu keputusan daripada FIFA terlebih dahulu.

Mereka juga tidak boleh beraksi dalam pusingan kedua kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tetapi boleh didaftarkan untuk menghadapi pusingan ketiga jika layak.

“Jika sudah lepas (di peringkat) FIFA, kami akan daftarkan kerakyatan mereka. Kami juga sudah bersedia dengan segala dokumen untuk diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia,” jelasnya.

Namun, timbul keraguan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang berasakan De Paula tidak layak mewakili negara kerana faktor usia. Tahun ini, beliau berusia 34 tahun dan mempunyai pengalaman beraksi dengan 18 buah kelab sepanjang karier bola sepaknya.

Mengulas mengenai isu itu, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berpendapat pemain “kuda tua” itu tetap ada keperluannya dalam skuad negara kerana mempunyai kelebihan dari segi fizikal.

“Daripada segi fizikal dan penyudah daripada De Paula, dia mampu memberi penyelesaian di bahagian depan kami. Liridon pula mempunyai karakter yang baik di atas padang. Dia mempunyai sikap tidak mengaku kalah dan mempunyai kerajinan yang tinggi,” jelasnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Yusoff Mahadi Mahu Skuad Harimau Malaya Takluk Asia Tenggara Pada Tahun 2020

FIFA Ranking: Malaysia Kekal Dikedudukan Ke 154 Dunia, Tutup Tirai 2019 Dengan Lonjakan 13 Anak Tangga

Juara Gulf Of Nations Cup, Bahrain Setuju Menentang Harimau Malaya Dalam Perlawanan Persahabatan

Sumber