Penyerang import pasukan Kedah, Fernando Rodriguez menjadi pemain pertama yang meninggalkan skuad Hijau Kuning setelah pasukan itu menamatkan saingan Liga Malaysia musim 2019 dengan menjadi naib juara Piala Malaysia.

Menerusi laman media sosial Instagram milik pemain itu, Fernando memuat naik satu gambar dan beliau menggunakan caption dengan berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada pasukan Kedah sepanjang musim ini.

“Sudah sampai masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga ini. Satu musim yang tidak dapat dilupakan bersama anda semua. Terima kasih kepada rakan sepasukan, peminat, staf perubatan dan juga ketua jurulatih.

“Saya harap pencapaian musim ini boleh dipertingkatkan pada masa akan datang. 21 jaringan dihasilkan, juara Piala FA dan finalis Piala Malaysia nyata tidak cukup untuk saya menghabiskan satu lagi musim bersama Kedah.

“Tetapi ini adalah kehidupan dan bola sepak kadang-kala tidak memihak kepada anda. Saya bangga menjadi sebahagian daripada keluarga Kedah musim ini,” tulis Fernando.

Aidil Sharin
Sumber Gambar: Futsal.asia

Fernando Rodriguez mencipta gandingan mantap bersama seorang lagi pemain import, Jonathan Bauman di bahagian serangan sekaligus memainkan peranan besar dalam kejayaan pasukan Kedah mara ke dua pentas perlawanan akhir musim ini.

Setakat ini, pihak Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai status Fernando dan pemain mana yang akan dibawa masuk sebagai pengganti.

Dikhabarkan pengganti kepada bekas penyerang Mitra Kukar itu ialah pemain yang musim ini turut beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Baca artikel lain mengenai pasukan Kedah di sini:

Penyokong Persoalkan Jaringan Ketiga Kedah Dan Ketiadaan Penentuan Sepakan Penalti

Jorge Pereyra Diaz Nafi Sertai Kedah Musim Hadapan

Bekas Pemain Kedah Positif Dadah Dan Digantung 2 Tahun