Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam nyata memberi makna yang tersendiri kepada penyerang import pasukan itu iaitu Fernando Forestieri.

Artikel Berkaitan:

JDT berjaya menewaskan Terengganu dengan keputusan 3-1 hasil jaringan Arif Aiman dan Bergson da Silva sekaligus menjulang kejuaraan dan meraih trofi kedua dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Forestieri terus berkongsi kejayaan ini di laman media sosial miliknya dimana beliau menyatakan kemenangan Piala FA ini khas ditujukan kepada Menteri Besar Kedah dan juga Presiden Kedah FA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Fernando Forestieri
Sumber Gambar: Instagram Fernando Forestieri

“Kemenangan ini untuk sahabat saya iaitu Muhammad Sanusi Md Nor. Terima kasih atas sokongan anda dan selamat menikmati piala yang telah dimenangi,” kata Forestieri.

Sebelum perlawanan akhir, Datuk Seri Muhammad Sanusi berkata beliau menyokong Terengganu pada perlawanan akhir edisi kali ini kerana isterinya berasal dari Terengganu.

“Sudah tentu Terengganu. Sebab saya sokong Terengganu (adalah) isteri saya orang Terengganu, buat masa ini saya belum kahwin dengan orang Johor lagi.

“(Kalau Terengganu kalah) saya terima dengan berlapang dada, biasanya orang macam saya sentiasa menyokong pasukan yang dilihat ‘underdog’ dan (saya yakin) semua sokongan rakyat Malaysia akan pergi kepada Terengganu, kalau tak percaya, tunggu lah,” kata Sanusi.

Perkara ini nyata memberi kesan mendalam kepada Fernando Forestieri dimana beliau terus memuat naik gambar kemenangan sambil menyebut nama Datuk Seri Muhammad Sanusi di laman media sosial miliknya.

Beraksi di atas permukaan padang yang baik, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan pantas tetapi JDT dilihat lebih banyak mengancam kubu Terengganu.

Arif Aiman membuatkan suasana stadium gegak gempita pada minit ke-34 apabila beliau yang melepasi kawalan pemain pertahanan, Muhammad Alif Zakaria meledakkan rembatan kaki kiri untuk meletakkan JDT dihadapan.

Bergson melebarkan kedudukan buat JDT ketika permainan memasuki minit ke-63 apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas beliau dikasari dalam kawasan penalti oleh penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim.

Terengganu yang cuba untuk memberikan saingan berjaya merapatkan defisit jaringan pada minit ke-75 menerusi Kipre selepas percubaannya dalam kawasan penalti terkena muka Farizal Marlias lalu bola masuk ke dalam gawang gol.

Kegembiraan penyokong Terengganu itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama tiga minit apabila Bergson menambah satu lagi jaringan ketika situasi kelam-kabut berikutan tindakan Rahadiazli keluar daripada posisinya.