Kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG) mula mencuri tumpuan apabila menewaskan Manchester City, 2-0 dalam pertembungan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Lebih menarik, Lionel Messi akhirnya menamatkan penantian peminat apabila meledak gol pertama sejak diperkenalkan sebagai pemain PSG hampir dua bulan lalu.

Bintang Argentina itu memilih saat paling sesuai untuk membuka akaun jaringan berdepan skuad kendalian Pep Guardiola pada minit ke-74, jaringan dalam kempen Liga Juara-Juara ke-17 berturut-turut dirinya – menyamai rekod Karim Benzema yang dicatat beberapa minit sebelumnya.

Messi turut mengakui yang dia terdesak untuk menjaringkan gol selepas menamatkan karier di Barcelona dengan 672 gol dalam 778 penampilan.

“Memang benar saya semakin terdesak untuk mendapatkan gol pertama,” kata Messi yang tampil buat kali keempat untuk skuad kendalian Pochettino.

Namun begitu, ada satu situasi yang menarik perhatian bekas pemain Manchester United dan kini merupakan pengulas bola sepak, Rio Ferdinand ketika City mengambil sepakan percuma di minit akhir permainan.

Ferdinand terkejut melihat Messi yang juga merupakan pemenang enam kali Ballon d’Or itu berbaring di belakang barisan pemain yang membuat benteng.

Ferdinand turut berkata: “Saat ketika Mauricio Pochettino meminta dia melakukannya di padang latihan, seseorang perlu tampil dan berkata ‘tidak, tidak, ia tidak sepatutnya dilakukan Leo Messi’.

“Anda tidak boleh lakukan begitu. Ia tidak menghormatinya, saya pasti tidak akan melakukannya. Jika saya berada dalam pasukan, saya akan kata ‘biar saya berbaring untuk anda’.

“Saya tidak sanggup melihat dia berbaring begitu. Saya tidak mampu melihatnya. Jersinya tidak patut kotor (dengan cara itu). Itu bukan tugas Messi.” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak eropah melalui pautan dibawah.

Real Madrid Dikejutkan Kelab Moldova Sheriff, Ancelotti Kecewa Nasib Tidak Menyebelahi

Bukayo Saka: Sekiranya Aksi Seperti Bertemu Spurs Diteruskan, Kami Mampu Julang Trofi

Klopp Simpati Porto Beraksi Dengan Pertahanan Pincang