Legenda England, Rio Ferdinand jelas menilai perpindahan bekas rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo ke Arab Saudi daripada sudut pandang berbeza berbanding orang lain.

Ketika ramai menganggap penghijrahan itu merupakan pengakhiran yang cukup ‘tragis’ dalam karier gemilangnya, Ferdinand bagaimanapun merasakan sebaliknya berhubung keputusan Ronaldo untuk menyertai Al Nassr.

Malah, beliau turut merasakan itu merupakan keputusan yang cukup positif diambil Ronaldo untuk terus mempamerkan kemampuannya walaupun sudah berusia 37 tahun.

“Saya gembira untuknya kerana pada akhirnya dia turut gembira [dapat pasukan baharu],” ujar Ferdinand menurut laporan Goal.

“Untuk mana-mana pemain bola sepak, dalam apa jua tahap anda mainkan, kebahagiaan dan kegembiraan dalam persekitaran yang anda bermain adalah perkara paling penting.”

“Dia tidak gembira untuk seketika [sewaktu bersama Manchester United], jadi saya gembira dia berada di ambang untuk kembali mendapatkan kegembirannya, walaupun memilih ke negara yang tidak ramai orang jangkakan.”

“Tetapi ia merupakan pengembaraan yang baik buatnya dengan pergi ke Arab Saudi dan bermain di liga serba baharu serta liga yang kompetitif di sana.”

“Saya telah melihat ramai orang memberikan komen dan beberapa pakar mengatakan ia adalah cara menyedihkan baginya untuk keluar. Satu-satunya kesedihan ialah bagaimana cara kariernya berakhir di Manchester United.”

“Saya rasa dalam beberapa tahun dia akan melihat ke belakang dan fikir ia boleh dikendalikan dengan cara berbeza.”

“Tetapi pada bab seterusnya, dia pergi ke Arab Saudi. Bagaimanakah cara yang menyedihkan untuk menamatkan kerjayanya.Saya tidak faham bagaimana orang boleh mengatakan sedemikian.”

“Saya seronok melihat David Beckham, Frank Lampard, Wayne Rooney, Steven Gerrard. Ia sangat menggembirakan melihat mereka pergi ke Amerika Syarikat.”

“Bagaimana cara mereka menamatkan kerjaya mereka, mendapatkan wang dengan jumlah yang begitu banyak, pergi ke liga yang tidak begitu kompetitif. Biarlah mereka pergi, mereka layak untuk mendapatkan semua itu.”

“Itu sahaja yang saya lihat di media. Tetapi kerana itu [pilihan Ronaldo] adalah Arab Saudi, orang menganggap ia menyedihkan dan memalukan.”

Biarlah seorang pemain itu pergi dan hidup di sana. Biarkan dia nikmatinya. Ia adalah pengembaraan baharu yang membawa keluarganya untuk merasai budaya baharu,” tambah Rio Ferdinand lagi.

 

Sumber