Skuad Felda United bakal berangkat ke Indonesia untuk menyertai kejohanan jemputan Piala Gubernur Sumatera Utara di Medan sebagai persiapan menghadapi musim baharu Liga Malaysia 2020.

Menurut laporan daripada Stadium Astro, kejohanan yang berlangsung pada 17 Januari hingga 19 Januari 2020 itu turut disertai oleh kelab dari Singapura, Geylang United, Boeung Ket Angkor dari Kemboja dan pasukan tuan rumah, PSMS Medan.

Ia merupakan medan terbaik untuk pengendali pasukan itu, Nidzam Jamil menguji sejauh mana kemampuan anak buahnya setelah dikumpulkan sejak bulan disember lepas.

“Kami baru sahaja selesai menjalani sesi latihan di Felda Hot Spring, Sg Klah.

“Aktiviti ini bagi tujuan membentuk keserasian dan kesefahaman antara pemain supaya menjadi lebih baik,” kata Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman.

81354029_3013195045391842_7455131741938778112_o
Skuad Felda United giat menjalani latihan sejak bulan lalu. FOTO: FUFC

Selain itu, pihak pengurusan Felda United turut merancang untuk mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka setelah pulang dari Indonesia.

“Mungkin pada Februari kelak, kami akan lebih banyak mengadakan perlawanan persahabatan di Jengka.

“Kami berhasrat wujudkan perlawanan merebut Piala Pengerusi Felda di antara Felda dengan Pahang dan ia masih di peringkat perbincangan,” jelasnya.

Meskipun kehilangan beberapa tonggak utama seperti Hadin Azman yang memilih untuk menyertai Kedah, Arif Fadzillah (Terengganu FC), Norazlan Razali (Melaka United), dan Christie Jayaseelan (PJ City FC), Nidzam Jamil yakin dengan kemampuan barisan pemain yang sedia ada.

“kami cuba untuk kekalkan pemain sedia ada selain membawa masuk tiga pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan. Kita juga akan mendapatkan khidmat pemain import di posisi 10 kerana Felda United telah kehilangan ramai pemain di bahagian serangan.

“Pada masa sama, kami juga telah membawa masuk beberapa pemain tempatan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan tonggak utama musim lalu seperti Fadhil Idris daripada PKNP dan beberapa pemain lain,” kata nidzam.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia musim 2020.

Selain Pusat Latihan Tertutup, Selangor Juga Bakal Memiliki Pusat Perubatan Dan Pejabat Teknikal

Muhammad Gopi Rizqi Kembali Semula Ke Pangkuan Tok Gajah

Bekas Penyerang Everton, Victor Anichebe Berada Dalam Radar Melaka United